Tuesday, January 25, 2011

Siapa Belasah Harun?

Mereka mungkin tidak tahu yang aku sedang mendengar.... Aku mendengar dengan teliti setiap perkataan yang keluar dari mulut mereka. Terutamanya Harun. Mulutnya celepar mengata aku. Ingin sahaja aku keluar menampar budak itu di mukanya. Tetapi dia dikelilingi pelajar lain. Ada juga beberapa orang cikgu yang tidak jauh dari mereka. Aku tidak mahu dilihat mereka.

Malam itu aku ke asrama lelaki. Para pelajar Muslim di surau, dan setahu aku bilik si Harun mulut celupar itu tiada penghuni bukan Muslim. Aku memasuki bilik tersebut. Aku tinggalkan surat yang telah siap aku taip sebentar tadi di atas katilnya.

Harun seorang pembuli yang panas baran. Kelakuannya tidak disenangi cikgu-cikgu dan murid-murid yang lain. Tetapi aku tidak dapat menahan diri aku setelah mendengar tomahan yang dilemparkan ke arahku olehnya.

Surat itu telah aku taipkan:

"JUMPA AKU DI BELAKANG BLOK A KALAU BERANI. DATANG SEORANG DIRI. AKU PUN TAKKAN BERITAHU SESIAPA. KALAU KAU JANTAN, DATANGLAH. KITA TENGOK SIAPA BAPAK SAMSENG DI SEKOLAH NI - KAU ATAU AKU!"

Harun semestinya akan tercabar. Tengoklah. Akan aku ajarnya puas-puas. Selepas malam ini, sudah tentu dia akan insaf dan tidak akan berani mengacau sesiapa lagi di sekolah ini.

Aku sudah lengkap berpakaian serba hitam. Aku tidak mahu dia mengecam aku. Aku memakai topeng tengkorak - aku tahu itu tidak cukup untuk menakutkannya. Meskipun aku lebih tua, si Harun tinggi lampai dan bertubuh sasa. Sudah tentu dia jauh lebih kuat daripada aku. Sebab itu aku sudah pun merancang segala-galanya petang tadi.

Tangan aku memegang cecair pedih. Tangan aku yang satu lagi memegang pisau pendek. Aku tahu rancangan aku salah. Aku tidak patut berbuat begini. Tetapi Harun tidak patut bercakap begitu. Bukan sahaja murid-murid, tetapi sudah lama satu sekolah ini bersabar dengan kerenahnya. Sudah tiba masanya sesorang melawan balik.

Sudah tiba masanya aku melawan balik.

Lebih kurang setengah jam kemudian, aku terdengar bunyi tapak kaki. Aku melihat dari tempat persembunyian aku. Harun sudah datang... seorang diri. Mukanya bengis. Aku masih teragak-agak. Aku tidak kisah kalau Harun mengalahkan aku dan aku pula yang tercedera. Tetapi macam mana dengan nama baik aku? Aku ada reputasi di sekolah ini. Keluarga aku juga ada reputasi di seluruh bandar ini. Aku tidak mahu mencemarkan semua itu.

Harun semakin hampir. Tanpa mencelarukan fikiran aku lagi, aku terus melompat keluar dari tempat persembunyian aku. Sebelum Harun sempat berbuat apa-apa, aku terus menyembur cecair pedih itu pada matanya. Dia menjerit kesakitan. Aku terus mengambil palang besi di sebelah aku lalu memukulnya berkali-kali. Tiada sesiapa yang terdengar jeritannya. Kawasan itu sememangnya sunyi dan gelap. Aku melepaskan segala rasa marah aku atasnya. Kalau bukan sekarang, bila lagi aku akan mendapat peluang sebegini?

Akhirnya Harun tersungkur. Dia tidak mampu bergerak. Akhir sekali, aku mencalar mukanya dengan pisau pendek aku. Sudah lama Harun sombong dengan wajah tampannya. Sudah tiba masa dia diajar untuk merendah diri. Beginilah caranya. Aku terus mencalar seolah-olah aku tidak akan puas. Biarlah!

Tiba-tiba, aku ternampak cahaya lampu suluh menghampiri kami. Pengawal! Mereka sedang menghampiri tempat tersebut. Aku terus membuka seribu langkah. Salah satu pengawal itu mula mengejar aku. Aku berlari sepantas mungkin. Habislah aku....

Tetapi aku sedar aku tidak boleh membiarkan nama baik aku tercemar. Aku mesti bersembunyi. Ya! Kunci untuk bilik mesyuarat! Aku terlupa memulangkannya ke pejabat petang tadi kerana terlalu asyik memikirkan Harun. Aku terus menaiki tangga untuk ke sana. Aku memasuki bilik itu dan menguncinya dari dalam lalu menyorok di bawah sebuah meja.

Semalaman aku tidak pulang. Aku hanya mampu menghantar SMS kepada ibu dengan mengatakan aku bermalam di rumah kawan. Selepas itu, aku terus mematikan telefon bimbit aku. Sudah tentu pengawal itu tidak akan menyangka aku berada di dalam bilik mesyuarat. Keesokan paginya, aku menghadiri kelas tambahan di blok kuliah. Dalam kelas, aku cuba berbuat-buat seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Namun, aku mula perasan yang pelajar-pelajar yang menginap di asrama tidak datang. Hanya pelajar-pelajar yang tinggal di luar sahaja yang menghadirkan diri ke kelas tambahan pada hari Sabtu itu.

Aku tahu sebabnya. Tetapi aku bertanya pada Cikgu Zaleha di kantin terus setelah kelas tamat. Aku bertanya padanya tentang pelajar-pelajar di asrama.

"Shahir! Awak tak tahu? Budak nakal yang dari kelas awak tu! Alamak... apa nama dia? Harun? Ya! Harun! Semalam ada kes gaduh di asrama. Tak tahulah siapa yang tak puas hati dengan dia. Ramai mungkin. Tetapi habis dia kena belasah, Shahir! Muka dia teruk kena calar! Sampai sekarang dia sendiri tak tahu budak mana yang buat macam tu pada dia. Bertopeng budak yang belasah dia tu!"

Selepas itu, heboh satu sekolah tentang kes Harun dibelasah budak bertopeng. Memandangkan Harun di kelas saya, terpaksalah saya melawatnya bersama beberapa orang kawan supaya tidak menimbulkan sebarang syak wasangka. Harun langsung tidak tahu identiti orang yang menyerangnya malam semalam. Ayahnya, anak sulung Datuk Hamid, salah seorang ahli korporat yang terkaya di bandar ini, berkeras untuk membuat laporan polis. Ibunya pula sudah memberitahu hal ini kepada kenalannya yang mempunyai pengaruh di pihak media.

Aku tidak pulang ke rumah terus selepas itu. Aku menelefon ibu dan memberitahunya yang aku mungkin lambat. Aku terus ke asrama sekolah. Aku kembali ke tempat kejadian. Aku memeriksa tempat tersebut. Pisau, palang besi, topeng... semuanya selamat di rumah aku. Tidak mungkin polis akan mencari cap jari atau rambut aku di mana-mana sebab aku siap bertopeng dan bersarung tangan malam tadi.

Tetapi selamatkah aku? Niat aku baik... tetapi adakah aku tetap perlu menghadapi hukuman Tuhan?

Pada perhimpunan rasmi di sekolah pada pagi Isnin, pengetua kami memberitahu sekolah tentang kes ini. Kebanyakkan pelajar yang tidak ke sekolah pada Sabtu lepas terkejut mendengar berita ini. Semestinya, kebanyakan daripada mereka puas sebab sememangnya Harun dibenci warga sekolah kami.

Pengetua berkeras yang orang yang membelasah Harun perlu tampil dengan pengakuannya selewat-lewatnya sebelum cuti pertengahan tahun bermula. Dia juga menjelaskan yang dia sedar pesalah itu tidak semestinya orang dari asrama kerana malam itu ada majlis di surau dan ramai orang yang tinggal di luar juga ada di sekolah pada masa itu.

Aku terus kaku.

Topik perbualan kebanyakan warga SMK Sir Francis Light pada minggu itu ialah tentang kes Harun. Banyak warga sini - tidak kira cikgu mahupun pelajar pernah menjadi mangsanya. Dia pernah menyeksa banyak pelajar lelaki dengan membuli mereka. Ada juga beberapa orang pelajar perempuan yang selalu diusiknya. Ada juga yang tertawan dengan kekacakannya dan menjalinkan hubungan dengan mereka. Namun hubungan mereka tidak kekal kerana Harun hanya cantik di luarang. Dalamannya seperti binatang! Sekiranya ada mana-mana cikgu yang berani mendendanya, ibu bapanya akan datang bersama dua atau tiga orang peguam mereka. Sebab itu, banyak antara kami yang takut dengan Harun. Pengetua sendiri gerun mendengar nama Harun kerana sedar akan pengaruh dan status keluarganya pada masyarakat Pulau Pinang ini.

Aku tidak pernah berasa selamat. Sesiapa mungkin dikuatiri menjadi budak bertopeng itu. Ada pula khabar angin mengatakan yang Harun itu sebenarnya dibelasah oleh makhluk halus. Tempoh hari, polis datang melihat tempat kejadian dan menjalankan soal siasat. Beberapa budak nakal yang pernah terlibat dalam pergaduhan dengan Harun disoal siasat. Antaranya Raj, Peng, Tahir, Roslan dan beberapa orang lain. Pengawal yang menjumpai Harun juga disoal. Begitu juga dengan beberapa orang cikgu.

Keesokan harinya, orang media pula datang. Sememangnya sekolah kami antara sekolah terbaik di seluruh negara sejak zaman British lagi dah kes ini telah membawa nama buruk kepadanya.

Petang itu, perjumpaan kokurikulum dibatalkan. Semua guru dan pelajar dikumpulan di dewan sekolah. Aku sendiri tidak tahu sebabnya. Puan pengetua terus membuat ucapan. Dia berkata yang dia kecewa dengan semua pelajarnya. Dia tahu yang mesti ada yang tahu tentang hal ini tetapi berdiam diri kerana takut. Dia menyeru supaya sesiapa tampil ke hadapan untuk memberikan maklumat.

Rupa-rupanya, perhimpunan petang itu bukannya perhimpunan biasa, tetapi satu perbicaraan mahkamah! Suatu perbicaraan mahkamah tanpa sebarang peguam, saksi mahupun tertuduh. Hanya ada kes. Oh ya! Ada hakim sebenarnya - puan pengetua sendiri!

Pengetua berkeras yang tiada sesiapa dibenarkan pulang sehinggalah sekurang-kurangnya satu petunguk diperoleh. termasuklah cikgu-cikgu! Apakah?!

Buat beberapa minit, keadaan sunyi-sepi. Satu sekolah tahu yang pengetua kami seorang wanita yang sangat tegas. Guru-guru sangat teliti dalam menjalankan tugas kerana takut dengannya. Kami sedar ada kemungkinan kami terpaksa bermalam di dewan itu....

Tiba-tiba, Peng berjalan ke hadapan. Lebih 1000 pasangan mata memandang ke arahnya. Dia berbisik sesuatu pada telinga pengetua. Wanita separuh umur itu memimpinnya ke pembesar suara dan menyuruhnya memberitahu semua orang apa-apa yang dibisiknya tadi.

"Errrr... selamat petang semua. Nama saya... Peng. Saya dari kelas 5 Jebat. Saya... saya rasa... saya tahu siapa yang pukul Harun malam itu...".

Dewan itu yang tadinya diam terus bising dengan suara warga sekolah itu yang terkejut dengan pengakuan Peng. Aku tidak dapat menahan diri aku. Tidak! Tidak mungkin Peng tahu akulah orangnya. Mungkin dia tersilap. Mungkin dia hanya ada andaian.

"Senyap!!!!!!!!!!!" pengetua menjerit tanpa menggunkan pembesar suara. "Peng, teruskan. Siapa orang tu? Awak pasti?"

Peng masih terketar-ketar. "Saya rasa.... Saya pun tak pasti. Tapi saya tahu... Tahir lama berdendam dengan Harun sebab dia rampas girlfriend dia..."

Sekali lagi seluruh dewan kembali menjadi bising. Sememangnya satu sekolah tahu tentang pergaduhan antara Tahir dan Harun kerana berebut seorang budak perempuan. Tetapi hal itu sudah lama berlalu. Susah juga untuk sesiapa percaya yang Tahir mampu membelasah Harun seorang diri sehingga seteruk itu. Tahir bertubuh kecil kalau dibandingkan dengan Harun.

Tahir pula dipanggil ke hadapan.

"Saya tak pernah bercakap dengan Harun pun selepas kes hujung tahun lepas. Saya cuma nak fokus pada SPM. Lagipun saya lambat balik ke asrama malam itu dari surau sebab saya tolong Uztad Azman berkemas dengan beberapa lagi AJK surau."

Semua memandang ke arah uztad itu yang mengangguk-angguk tanda benar. Kurang satu suspek, kembali ke kosong. Namun, Tahir belum habis bercakap lagi.

"Tapi... dua hari lepas, saya terdengar Roslan bersembang dengan kawan-kawannya di makmal fizik. Roslan kata dia dan Raj ke kawasan belakang Blok A untuk hisap rokok. Masa tu... mereka ternampak something menyorok di belakang dinding...."

Sekarang giliran Raj dan Roslan pula ke hadapan dewan. Mereka nampak sangat takut. Aku tertanya-tanya. Apakah mereka akan menyalahkan satu sama lain sampailah tiada apa-apa petunjuk diperoleh?

Raj dan Roslan masing-masing memujuk satu sama lain untuk bercakap di hadapan. Kedua-duanya nampak ketakutan. Akhrinya, pengetua terpaksa menarik Raj ke depan pembesar suara untuk bercakap.

"Saya Raj. Errrr... kami.... saya dan Roslan... errr...," Raj menggaru-garu kepalanya. Dia memandang ke belakang. Pengetua memandang ke arahnya dengan mata merah. Raj takut dan terus menyambung ucapannya. "Sebenarnya... saya pasti ramai yang takkan percayakan kami. Sebab apa yang kami nampak... pelik. Kami nampak siapa yang pukul Harun malam tu. Dan orang tu... well.... dia bukan orang. Dia hantu..."

Kedengaran beberapa orang budak perempuan terjerit ketakutan kerana terlalu takut. Sememangnya sekolah ini terkenal dengan cerita-cerita seramnya. Hampir tiap tahun ada sahaja kes histeria. Namun, tiada sesiapa menyangka yang hantu di sini boleh bertindak sebegini.

"Apa yang awak merepek ni, Raj?" pengetua menyoal.

"Betul, cikgu. Roslan dengan saya nampak malam tu... hantu tu pakaiannya semua hitam. Kepala dia macam tengkorak manusia... Sangat seram, cikgu!" Raj menggigil ketakutan. Tiba-tiba, Roslan yang berdiri di sebelahnya terpengsan. Puan pengetua termelatah sedikit melihat budak itu jatuh begitu sahaja. Beberapa cikgu lelaki mengangkatnya ke bilik rawatan.

Aku tidak percaya. Aku dilihat! Dua budak itu ternampak aku malam itu!

Setelah pengetua berjaya menenagkan keadaan, perbicaraan dimulakan semula. Kali ini, Uztad Azman sendiri membawa seorang budak tingkatan empat bernama Abu ke hadapan.

"Hai, nama saya Abu. Saya tinggal satu dorm dengan Harun. Hmmm... saya tidak mahu menuding jari pada sesiapa... tetapi saya mungkin ada petunjuk. Errr..." dia mengeluarkan surat yang aku tinggalkan atas katil Harun malam itu. "Saya tak tunjukkan surat ini pada sesiapa sebab saya baru jumpa di bawah katil saya semalam masa saya tengah menyapu bilik saya. Katil saya sebelah katil Harun. Saya rasa surat ini untuk Harun sebenarnya...."

Pengetua terus merampas surat itu dari tangan Abu lalu membacakannya dengan kuat. "Kerja siapa ni? Kerja samseng mana ni?" perempuan itu menjerit sekuat hati. Semua terdiam. Tidak disangka kes ini sebegitu serius.

Peng, Tahir, Raj, Roslan dan Abu masih berdiri di hadapan dewan. Ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka. Gerak hati aku selalunya betul. Aku rasa kali ini juga ia tidak salah.

Pengetua meminta beberapa orang guru disiplin membawa Raj, Peng dan Tahir jauh ke bilik guru sebentar. Abu pula dihantar balik ke tempat duduknya. Pengetua mula menyoal Roslan seorang diri di hadapan seluruh sekolah.

"Lan, cikgu sebenarnya cikgu kenal awak dan Raj dari Tingkatan Satu lagi. Kamu berdua memang baik masa tu. Kamulah pelajar paling rajin dan pandai dalam kelas kamu. Cikgu-cikgu kamu semua sayangkan kamu. Kawan-kawan kamu yang lain pun suka pada kamu. Tapi.... lepas kamu berkawan dengan Harun, kamu beruda berubah, kan? Terutamanya si Raj. Saya tahu... awak sangat baik, Lan. Tapi Raj dah terpengaruh dengan sikap Harun. Apa-apa masalah pun awak dilibatkan sama, kan? Macam masa Raj dengan Harun gaduh besar tahun lepas. Masalah tu antara mereka berdua saja, kan? Tapi awak pun dilibatkan sama. Kasihan awak. Awak jadi mangsa. Semuanya sebab Raj, kan?" pengetua berkata. Suaranya yang garang tadi sekarang lembut. Roslan mengangguk-angguk sahaja.

"Sekarang, cikgu tahu si Raj tu dah lama berdendam dengar Harun, kan? Cikgu tahu, dia yang merancang untuk belasah Harun, kan? Malam tu kamu berdua ke Blok A. Lepas tu, dia paksa awak untuk buat sekali, kan?" pengetua menyoal lagi.

Keadaan diam. Semua orang dalam dewan itu menunggu jawapan Roslan. Akhirnya, budak itu mengangguk. Dewan menjadi bising semula.

"Ta... Tapi... Bukan kami yang pukul dia, cikgu. Plan kami tak jadi malam tu. Sebab kami lari balik ke asrama lepas kami nampak hantu tu..." Roslan bertegas.

"Dahlah tu, Lan. Tu saja yang cikgu nak tahu dari kamu," pengetua tersenyum sinis. Dalam hatiku, aku kagum melihat perempuan itu. Memang tidak sia-sia pengalamannya menjadi guru untuk berpuluh-puluh tahun. Dia pandai membuat pelajar bersalah mengaku kesalahannya.

Cuma kali ini dia tersilap sedikit.

Tidak lama kemudian, guru-guru disiplin tadi pulang ke dewan dengan Raj, Tahir dan Peng. Mereka membincangkan sesuatu dengan pengetua. Aku cuba mendengar percakapan mereka tetapi tidak mampu. Kemudian, pengetua kembali ke pembesar suara.

"Jadi pelajar-pelajar, sekarang kamu tahu kamu tak boleh tipu kami. Kami cikgu kamu. Kami lagi lama hidup dan kami tahu bila kamu menipu dan macam mana kamu menipu. Tadi kamu nampak cikgu dah paksa Roslan mengaku kesalahan dia. Di bilik guru, cikgu-cikgu dari panel disiplin pun menyoal tiga budak yang lain ni. Raj pun sama-sama mengaku merancang untuk belasah Harun. Tapi ceritanya sama dengan Roslan. Kononnya mereka lari selepas ternampak hantu...

"Satu lagi. Tahir pun mengaku cuba nak membelasah Harun. Tapi kononnya, rancangan dia pun tak menjadi. Sebab sebelum sempat dia ikut Harun ke belakang Blok A tu untuk pukul dia, kononnya dah ada orang pukul dia! Apa cerita ni?!"

Barulah aku faham semuanya. Pengawal yang mengejar aku malam itu bukannya pengawal! Tapi Tahir!

"Mungkin kamu tak percaya..." pengetua menyambung ucapannya. "Tapi Tahir pun ada pembantunya. Cuba teka siapa?"

Aku terkejut. Tahir ada pembantu. Mungkin aku tidak perasan sebab terlalu cemas.

"Abu! Tolong ke depan!" pengetua menyahut. Semua terkejut. Budak ini yang nampak langsung tidak bersalah, malah memberikan petunjuk yang sangat baik juga terlibat sama?!

"Tahir cuba berbuat-buat macam budak baik dengan membantu Uztad Azman di surau. Malam itu, selepas Abu nampak teman sebiliknya ke Blok A, dia tahu inilah peluangnya nak balas dendam sebab dia dah tak tahan dibuli Harun tiap malam, kan Abu? Si Tahir pun masih tak insaf lagi... masih nak balas dendam sebab buah hatinya dirampas. Jadi kedua-duanya ikut Harun ke Blok A. Betul tak, kamu berdua?" pengetua bertanya pada Abu dan Tahir.

Mata Abu masih terbeliak besar, masih terkejut. Tahir pula menggeleng. "Tak, cikgu! Memang bila kami sampai di sana, Harun dah kena belasah. Saya terus kejar orang tu tapi dia terlepas. Abu pula pergi cari pengawal. Ya, memang kami rancang nak pukul Harun. Tapi bukan kami, cikgu! Bukan kami! Kami tak sempat nak buat apa-apa pun!" Tahir mula menangis teresak-esak.

"Kamu macam mana?" cikgu menyoal Peng pula.

"Saya... saya kan tak buat apa-apa..."

"Betul? Sebab saya baru dapat panggilan dari balai polis yang mengatakan awak ada upah samseng dari luar untuk pukul Harun. Masalah awak lain. Yang empat ni cikgu kena laporkan mereka ke balai. Tapi awak ada 'jemputan khas' dari balai," kata pengetua, sinis.

Peng terkejut. Memang sah gerak hati aku. Tapi aku tidak menyangka. Kelima-limanya bersalah?

Selepas mendengar lagi sedikit ucapan dan kata-kata terakhir daripada puan pengetua sebagai nasihat, perhimpunan pun tamat. Satu sekolah keluar melihat Peng, Tahir, Raj, Roslan dan Abu dimasukkan ke dalam van salah satu cikgu disiplin dan dibawa ke balai.

Terlalu banyak yang berlaku petang ini. Aku tidak mahu terus pulang ke rumah. Aku mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di padang untuk seketika sambil menghirup udara segar.

Apakah yang baru terjadi di dewan tadi? Bukan ketidakadilan, tetapi pendedahan. Aku kenal Peng, Tahir, Raj, Roslan dan Abu dari Tingkatan Satu lagi. Kelima-limanya budak baik. Mereka mendapat tempat di sekolah ini kerana mendapat 5A dalam UPSR dan prestasi kokurikulum meraka juga sangat mantap. Tetapi selepas memasuki sekolah menengah, segalanya berubah. Alam remaja bukanlah sesuatu yang mudah. Cabarannya sangat hebat. Dalam usia sebegini, seorang manusia akan menganggap dunia ini dia yang punya. Tiada Tuhan, tiada peraturan. Hanya hati. Ikut hati ke jalan mati...

"Cikgu Syahir!" seorang pelajar menyahut namaku.

"Ya!" aku berpaling. Ayer, ketua kelas aku rupanya.

"Cikgu, saya rasa saya patut minta maaf pada cikgu."

"Hah? Kenapa?"

"Kan dulu cikgu yang minta saya jaga Harun, kan? Pastikan dia tak buat apa-apa yang tak baik. Cuma dia tu tak hormat pada siapa-siapa. Macam mana saya nak jaga dia? Sebab tulah saya rasa saya patut minta maaf...."

"Tak payahlah, Ayer. Awak tak buat apa-apa pun. Hmmm... nak buat apa? Bukan semua budak macam awak. Rajin, baik... sejuk hati orang tua awak. Harun tu dah dimanjakan dengan hartakeluarga dia. Biarkanlah.... Mungkin esok cikgu kena lawat dia di hospital. Tak kisahlah dia cakap apa-apa pasal cikgu pun... cikgu tetap cikgu kelas dia, kan? Dah tanggungjawab cikgu untuk... untuk..."

"Apa cikgu...?"

"Untuk ajar dia. Untuk didik dia. Tak kisah apa cara sekalipun, dia kena diajar."

Aku tidak dapat berkata-kata. Betulkah cara aku?

"Baiklah, cikgu. Bas saya dah sampai. Saya pergi dulu cikgu. Bye!"

"Bye!"

Sambil otak aku celaru memikirkan semuanya, aku berjalan ke arah matahari terbenam...


5 comments:

  1. perghhhhhhhhhhh!!
    mantapppppppppp!!!
    cikgu dia??
    waaaaaaaaaaaaaa!!!!

    ReplyDelete
  2. duuuude.this is awesome! i actually said it out loud, "it's the cikgu?!!" awesome dei..keep it up. just typos here and der..but otherwise, it's GOOD!!! :)

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. btw, isn't that the actor, Navdeep at the bottom? cute la de fella! good choice of photo..hehe! :p

    ReplyDelete
  5. amboi cikgu!!!!! taknak ler aku blajar gn cikgu tu.. seram doo0o0. masalah mental kot? ee,,, waaa!! seram,,, hahaeheh

    ReplyDelete