Thursday, January 27, 2011

Tersirat dan Tersurat


Aku sudah tidak mampu berjalan. Aku terus terduduk di atas tanah hutan belukar itu. Nyamuk dan serangga yang mengelilingiku sudah aku tidak peduli. Aku mengeluarkan penghembus lelah aku bagi meredakan rasa sesak nafasku.

"Baik, semua. Saya rasa kita berkhemah di sini malam ni. Hari pun semakin gelap. Dah nak masuk maghrib ni. Lagipun, si Dev ni dah letih ni," kata Asyraf, ketua ekspedisi kami. Dia pun sudah lama melihat aku terpaksa bersusah-payah mengejar mereka yang lain ketika kami berjalan tadi.

Nasib baik dua orang sahabat karib aku - Maria dan Siti sudi membantu aku mendirikan khemah aku. Aku terlalu letih untuk berbuat apa-apa. Sedang aku berehat sambil makan telur rebus yang telah Siti sediakan untuk aku, aku terdengar Asyraf sedang bertikam lidah dengan penolongnya, Rahim. Sejak kami memulakan ekspedisi ini, mereka berdua sering bertelingkar kerana perbezaan pendapat. Akibat terlalu muak mendengar mereka bergaduh, aku terus masuk ke dalam khemah aku untuk tidur.

Pada awal tahun itu, aku telah diminta oleh pensyarah aku untuk menyertai suatu ekspedisi ke pedalaman hutan belantara Sabah untuk mencari suatu ketamadunan yang telah lama dilupai masyarakat dunia. Merekalah orang Sina.

Oleh sebab aku sudah lama mengkaji bahasa kuno yang pernah digunakan oleh masyarakat purba Borneo, kepakaran aku diperlukan oleh pasukan ekspedisi tersebut. Sahabat aku, Maria Spencer yang juga teman sekerjaku dari Australia yang mengikuti suatu program pertukaran pelajar di Universiti Sains Malaysia, juga dibenarkan mengikuti kami. Hal ini kerana aku hanya mahir dalam pertuturan bahasa kuno tersebut. Maria pula lebih arif dalam penulisan bahasa mereka. Siti pula pelajar kejururawatan dan kemahirannya juga berguna untuk kami.

Setelah kapal terbang kami yang berlepas dari Lapangan Terbang Bayan Lepas selamat mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Pemandu pelancong kami terkejut melihat bilangan ahli ekspedisi kami yang banyak - hampir 100 orang! Maklumlah, semua mahasiswa yang mengambil kursus Kajian Masyarakat Kuno mengikuti ekspedisi ini bagi memenuhi kehendak program mereka.

Mula-mula, aku, Siti dan Maria ke Universiti Malaysia Sabah. Di sana, Maria diberi suatu kertas usang yang dijumpai dalam beg seorang pengembara Inggeris yang telah pergi mencari orang Sina bagi ketika zaman pemerintahan British lebih kurang 50 tahun dahulu. Sehingga hari ini, tiada sesiapa tahu nasib yang ditimpanya. Namun begitu, begnya ditemui beberapa orang asli ketika keluar memburu di hutan. Mereka telah menyerahkan beg itu kepada pegawai British. Sehingga hari ini, kandungan beg itu telah disimpan dalam arkib Universiti Malaysia Sabah. Baru hari ini ia dikeluarkan dan diberi kepada Maria untuk dikaji isi kandungan.

Selepas itu, kami terus ke kawasan hutan di kaki Gunung Kinabalu. Setelah pemandu pelancong itu pergi, kami pun membaca doa mengikut cara masing-masing sebelum memulakan pengembaraan kami. Pada hari pertama, kami sangat teruja. Siti dan Maria selalu sahaja mengambil gambar. Aku kasihan melihat keadaan Maria kerana dia terpaksa membawa beban yang agak berat. Begnya penuh dengan buku-buku tentang bahasa-bahasa kuno Borneo untuk dia mengkaji isi kandungan kertas usang itu.

"Semua buku ini... hanya untuk menahu isi tersirat dan tersurat kertas lama ini..." kata Maria dalam loghat orang putihnya yang pekat teramat sangat. Kami yang lain geli hati melihat gelagat budak Australia itu.

Malam keesokannya, kami bermalam di sebuah perkampungan orang asli. Kami dilayan dengan baik sekali. Sebelum meneruskan perjalanan, aku dan Siti sempat mendengar cerita tentang orang Sina daripada salah satu orang tua di kampung itu. Katanya, ada ketikanya orang Sina keluar dari kampungnya dan datang sejauh ini ke kampung orang asli ini. Kali terakhir orang Sina dilihat di sini ialah lebih kurang 20 tahun yang lalu. Orang Sina itu sangat buas dan telah menyerang beberapa orang pemuda kampung itu. Nasib baiklah semua pemuda itu pandai berlawan pedang dan berjaya mengusir orang Sina itu dari sana. Mulai saat itu, aku mula berasa kurang selesa dengan ekspedisi kami.

Beberapa hari kemudian, aku, Siti dan Maria terkejut apabila diberitahu yang kami sudah sesat! Asyraf menyalahkan orang-orang Rahim kerana merekalah yang bertanggungjawab mencari jalan dengan menggunakan peta dan kompas yang ada. Rahim yang sememangnya tidak mahu mengalah melawan balik.

"Why won't those two stop fighting?" Maria mengeluh.

"Ni bukan masanya nak bergaduh. Aduhai... budak-budak ni..." Siti mengeleng kepalanya melihat kelakuan dua orang pemuda itu.

"You know what, Maria? Let's get back to that paper of yours. We might as well work on that rather than watch these two goons put on a drama!" Aku terus mengajak Maria mengkaji kandungan kertas orang Sina itu.

"Eh! Jangan tinggalkan aku! Kamu dua fikir aku suka tengok mereka berdua gaduh dalam keadaan kita sesat macam ni? Tolonglah!" Siti juga mengikut kami. Kami bertiga duduk di bawah sepophon pokok sambil membaca buku-buku yang dibawa Maria sambil mengkaji abjad-abjad pada kerta itu satu-persatu.

Hari-hari seterusnya dihabiskan dengan berjalan dalam hutan belantara tanpa halatuju. Keadaan semakin rungsing apabila Asyraf dan Rahim bermasam muka dan enggan bercakap dengan satu sama lain. Kebanyakan ahli ekspedisi kami juga terbahagi kepada dua pihak. Satu menyokong Rahim dan satu lagi menyokong Asyraf. Kedua-duanya sering bertengkar. Pernah sekali, adik saudara Asyraf, Amir dan kawan karib Rahim, Jay bergaduh akibat semangat assabiyah yang semakin menular dalam kalangan mereka.

Hari ini aku mendapat serangan asthma aku yang pertama dalam beberapa bulan. Sedang aku nyenyak tidur dalam khemah aku, aku tiba-tiba tersedar kerana sukar bernafas. Barulah aku sedar yang khemah aku terbakar! Aku terus berlari keluar dengan beg aku. Banyak khemah yang lain juga dijilat api. Khemah Maria dan Siti habis terbakar. Aku mencari mereka. Aku mula cemas. Nasib baik penghembus aku tidak aku tinggalkan dalam khemah tadi.

"Siti! Maria!" Aku menjerit memanggil nama mereka. Tiada sesiapa pun yang ada nampak mereka. Aku tidak faham. Mana kawan-kawan aku?

Akhirnya, aku menjumpai mereka di tepi sungai. Siti kelihatan menahan sakit.

"She burnt her hand while we were trying to get out of our tent!" Maria memberitahu aku sambil membalut tangan Siti dengan kain.

"Siti tak apa-apa?"

Siti hanya mampu mengangguk-angguk. Matanya berair.

"Kau jangan ingat aku tak nampak! Aku dengan Jay nampak dengan mata kepala kami sendiri budak tu buang putung rokok dia ke dalam semak tu!" tiba-tiba kedengaran suara Rahim meninggikan suaranya.

Kami yang tadi dalam kelam-kabut terus terkaku mendengar suara Rahim.

"Not again...." kata Maria sambil mengelengkan kepalanya.

"Kau berani nak tuduh adik aku buat macam tu, ya? Kami berdua tak bawa rokok datang sinilah. Kau jangan nak buat keji pada kami!" Asyraf menolak Rahim.

Tiba-tiba, sebelum Amir sempat mengelak, Jay memasukkan tangannya ke dalam kocek seluar Amir dan mengeluarkan sekotak rokok lalu membuangnya ke atas tanah.

Aysraf terpinga-pinga. "Ni mesti ada yang cuba nak buat nyaya pada kami..." Dia terus ditumbuk Rahim sampai tersungkur.

Amir cuba melawan Rahim tetapi dihalang Jay. Aku cuba menghalang Rahim daripada terus mencederakan Aysraf. Beberapa orang budak lain cuba menghalang Asyraf daripada bertindak.

"Guys! Please stop! Look!" Maria menjerit sambil menunjuk ke arah beberapa pemuda bercawat dan memegang tombak.

"Orang Sina..." aku berbisik dalam hati aku. "Asap dari api ni menarik mereka ke sini..."

Aku cuba menghampiri mereka. Siti dan Maria mengikut aku dari belakang. Orang-orang Sina itu juga berjalan ke arah kami. Aku memberitahu mereka yang datang dengan niat baik untuk menjalinkan persahabatan antara ketamadunan kami dan ketamadunan mereka. Pemuda Sina itu seolah-olah tidak memahami kata-kata aku. Mungkin Bahasa Sina aku tidak begitu fasih. Aku menghulurkan tangan aku untuk berjabat tangan. Tiba-tiba, dia tersenyum sambil memeluk aku. Aku terkejut! Rahim, Asyraf, Jay dan Amir yang tadinya bergaduh pun menghampiri orang-orang Sina yang lain.

Orang-orang Sina itu membawa kami ke perkampungan mereka. Pemuda Sina tadi yang memeluk aku tadi ialah anak ketua puak Sina. Namanya Orik. Meskipun agak sukar untuk dia fahami Bahasa Sina aku, dia sangat peramah dan tampak ikhlas dalam bersahabat dengan kami.

"Mereka nampak baik-baik saja. Mungkin nenek orang asli tu silap," kata Siti padaku.

"Agaklah... Orik ni sangat mesra..." aku berkata.

"Tapi aku tak pastilah. Suara hati aku lainlah, Dev. Kau rasa macam mana?" Siti bertanya.

Maria yang terdengar perbualan kami menyampuk. "Guys, I know these people are tribals and all... but I don't think they're savages. I think I just managed to translate the heading of the old paper. Guess what it says."

"What?" aku dan Siti bertanya.

"How to serve foreigners!"

"Really?" aku seolah-olah tidak dapat percaya.

"Here check it for yourself." Maria menghulurkan aku buku notanya. Aku memeriksa segala dapatan kajiannya. Memang betul katanya.

"Betul ke, Dev? Biar betul!" kata Siti sambil melihat buku nota Maria.

"Aku rasa betullah, Siti. Baik sungguh orang Sina ni..."

Setibanya di perkampungan orang Sina itu, kami terus dikelilingi penghuni kampung itu. Ada orang tua, remaja, kanak-kanak dan orang separuh umur. Masing-masing tertarik dengan kedatangan kami. Mereka memandang kami dengan penuh perasaan ingin tahu. Sememangnya mereka tidak pernah melihat orang daripada luar puak mereka.

Orik menjemput kami ke dalam rumah panjang. Kami diperkenalkan kepada ketua puak itu. Muka orang separuh umur itu bengis dan dia langsung tidak senyum. Namun begitu, dia menjemput kami untuk makan.

Pelbagai jenis juadah disediakan untuk kami. Ada nasi, ikan, ayam, daging, buah-buahan dan sayur-sayuran hutan. Orang-orang kampung juga membuat satu unggun api besar di tepi sungai. Sempena kedatangan kami, orang-orang kampung menari mengelilingi api tersebut. Begitulah adat orang-orang Sina.

Aku agak terkejut melihat kelakuan budak-budak kami yang menari dalam keadaan agak keterlaluan bersama orang-orang kampung itu. Seolah-olah mereka sudah dirasuk. Mungkin mereka terlalu gembira kerana misi kami berjaya.

Sepanjang malam itu, aku didampingi adik perempuan Orik, Tana. Siti sudah awal masuk tidur kerana tangannya masih sakit. Maria pula menemaninya sambil cuba menafsir kandungan kertas itu yang selebihnya.

Pada awalnya, aku tidak faham sebab Tana mendampingi aku sebegiut. Barulah aku sedar yang tugasnya sebenarnya ialah untuk 'melayan' aku. Rahim, Asyraf, Jay, Amir dan banyak lagi budak kami yang berkelakuan tidak senonoh dengan gadis-gadis muda yang ditugaskan untuk 'melayan' mereka. Tidak ketinggalan ada banyak juga budak perempuan kami yang berkelakuan begitu dengan pemuda-pemuda yang 'melayan' mereka. Sakit hatiku melihat perbuatan mereka yang mengikut hawa nafsu semata-mata. Maklumlah, mereka budak bandar.

Aku tidak sampai hati menghalau Tana. Dia tidak berniat jahat terhadapku. Selain makanan, dia membawakan aku secawan susu. Apabila aku meminumnya, aku terus meludahkannya kerana rasanya lain. Rupa-rupanya itu bukan susu tetapi tapai! Tana mungkin faham yang aku tidak biasa minum arak. Dia membawakan aku air kosong. Aku agak terkilan melihat budak-budak lain seronok minum tanpa memikirkan batasan. Ada yang keterlaluan sehingga bersetubuh di kawasan unggun api di kawasan terbuka.

Aku sudah tidak mampu menahan rasa jijik. Aku terus meminta izin untuk masuk tidur. Tana mengikut aku ke dalam, tetapi aku memintanya pergi. Aku terlihat matanya berair. Aku terus cuba meminta maaf sekiranya aku menyinggung perasaannya. Tana menafikannya. Dia cuma tersentuh dengan tindakan aku sebab aku tidak mengambil kesempatan atasnya seperti orang lelaki yang lain. Selepas itu, dia terus pergi.

Malam itu, aku tidak dapat tidur kerana dikelilingi budak-budak yang berkekaluan tidak senonoh, Bunyi-bunyian yang mereka keluarkan langsung tidak membuatkan aku tertidur. Terpaksalah aku bermalam di bawah sebatang pokok di tepi sungai. Hati aku masih memikirkan Tana. Sememangnya adat masyarakat di sini sangat berbeza dengan masyarakat luar. Di sini, wanita hanyalah alat bagi memuaskan hati kaum lelaki. Aku tidak pasti, tetapi itulah tekaan aku setelah satu malam di sini.

Malam itu, aku bermimpi berjumpa dengan keluarga di rumah. Sudah beberapa hari aku tidak berjumpa dengan mereka. Aku datang ke sini pun tanpa izin mereka. Sekiranya mereka tahu aku akan memasuki hutan, semestinya mereka tidak akan benarkan aku pergi kerana risau dengan masalah lelah aku. Rindunya hati ini padamu ayah, ibu....

SPLASH!

Muka aku disimbah air. Aku terus terbangun. Kelihatan Maria memegang botol airnya. Tana dan Siti pula ada di belakangnya. Wajah ketiga-tiga wanita itu kelihatan cemas.

"Maria! What the hell...."

"You can curse at me later. Right not we got to get out here... right now!" suaranya terketar-ketar.

"Cepat, Dev. Kita tak ada banyak masa ni...." Siti menggigil ketakutan.

Tana menolak sebuah sampan ke dalam sungai. Dia memasukkan beberapa bungkusan makanan dan air ke dalam sampan itu.

Siti dan Maria menarik aku masuk ke dalam sampan. Tana meminta kami bergerak terus ke hadapan dan dalam masa beberapa hari, kami akan sampai di sebuah pekan kecil. Siti dan Maria masing-masing mula mengayuh. Aku masih tidak faham apa-apa. Aku ingin mengajak Tana mengikuti kami. Tetapi aku masih dalam keadaan terpinga-pinga. Masih banyak lagi yang perlu aku pelajari daripadanya. Masih banyak lagi yang aku mahu beritahunya.

Tana memandang ke arah kami sehinggalah dia tidak kelihatan lagi. Hanya hutan sahaja di kiri dan kanan kami. Tiada lagi sebarang ketamadunan. Otak aku masih pening sebab baru bangun tidur. Setelah beberapa minit, barulah aku sedar sepenuhnya.

"Apa dah jadi dengan kamu berdua ni? Kenapa kita pergi macam tu saja?" aku bertanya.

"Sebab mereka nak bunuh kita, Dev! Mereka nak bunuh kita!" Siti menjerit. Matanya liar.

"Hah?! Macam.... Macam mana kau tahu? Semalam mereka elok saja dengan kita..."

"Tana yang datang beritahu Maria. Mulanya kami pun tak percaya," Siti mengelap air matanya. Aku sedar dua orang sahabat ini tidak stabil emosi buat masa sekarang. " Lepas tu, kami cuba sedarkan budak-budak lain. Semuanya tak bangun. Macam-macam yang kami cuba buat. Mereka tak bangun-bangun juga. Semuanya sebab tapai tu! Tapai tu!"

"They must have drugged it somehow. The other guys just could not wake up. Thats why we decided to leave without them. We tried out best and we could not save them. This was not time to be selfless. We got Tana to help us..."

Aku terus menyampuk. "But why? Atas dasar bukti apa kamu berdua boleh fikir yang mereka nak bunuh kita?! Kan mereka baik saja dengan kita semalam..."

"It's all clear to me now guys. They were... they were fattening us up!" Maria berkata dalam teresak-esak.

"But for what? Didn't that bloody paper...."

"That bloody paper was the one that saved our lives! Apart from that Tana girl!" Maria menjerit pada muka aku.

Aku berpaling ke arah Siti. "Siti, aku langusng tak faham...."

"Cuba kau tanya Maria. Dia lebih mengetahui... Percayalah... percayalah cakap aku..." Siti terus menangis.

"Maria? What's going on?"

Maria menghembus nafas dalam-dalam. "That paper. Its heading was 'How to serve foreigners'. Well guess what? It is no ethical code. Not even close."

"Then what is it?"

"It's a directory, Dev. In other words... a cookbook...."

Aku terus tidak sedarkan diri....


Wednesday, January 26, 2011

Jelmaan Bertopengkan Bayi

Malam bulan ketiga tahun 1957 sama sahaja seperti malam-malam yang sebelumnya di Kota Riyadh. Namun, malam ini agak istimewa untuk seorang wanita. Dia baru sahaja bersalin. Anaknya selamat dilahirkan. Namun begitu, wanita itu masih kelihatan risau.

“Tiada apa-apa masalah, kakak. Percayalah,” kata bidan bagi menenangkan pesakitnya.

“Cukuplah kalau kakak berbaring dan berehat sahaja. Kakak dapat anak lelaki!”

Wanita itu masih kelihatan buntu. “Aku tak percaya. Aku nak lihat dia sekarang juga!”

“Bersabarlah sekejap lagi,” bidan itu berkeras. “Saya janji sekejap lagi kakak boleh melihatnya. Berehatlah dulu.”

“Aku tak percaya. Ia anak perempuan, kan? Anak perempuan, kan? Cakaplah! Anak perempuan, kan?” Suara wanita itu semakin tinggi.

“Percayalah cakap saya, kakak. Saya sendiri yang menyambut kelahirannya. Memang dia anak lelaki!” bidan itu berkeras.

“Di mana anak saya sekarang?” wanita itu menyoal.

“Dia sedang dimandikan. Nanti barulah kakak boleh mendukungnya setelah dia bersih,” kata bidan itu lagi.

“Kau sanggup bersumpah dia anak lelaki?” wanita itu menyoal lagi.

“Saya sumpah, kakak. Berehatlah sebentar. Cuba lelapkan mata...”

“Sembilan bulan saya mengandung... Sembilan bulan saya berdoa siang malam untuk mendapat anak lelaki...”

“Dan memang doa akak termakbul! Anak kakak budak lelaki!”

Wanita-wanita lain yang ada bersama mereka dalam bilik itu mengangguk-angguk kepala mereka. Namun begitu, wanita itu masih tidak percayakan mereka. Dia mahu melihat anaknya dengan mata kepalanya sendiri untuk mendapatkan kepastian.

Bidan itu keluar untuk ke bilik air bagi memeriksa keadaan bayi wanita itu yang sedang dimandikan oleh beberap orang pekerjanya.

Wanita yang baru bersalin itu bukannya orang tempatan. Dia sebenarnya berasal dari Syria. Dia berpindah ke Riyadh setelah berkahwin dengan seorang ahli perniagaan yang kaya dari Yemen. Suaminya bukanlah calang-calang orang. Pada awalnya, dia hanyalah seorang buruh di Jeddah. Selapas itu, dia membuka syarikat pembinaanya sendiri. Setelah mengumpulkan harta yang banyak, keluarga diraja Saudi mula mendampinginya sehinggalah dia dianggap saudara mereka. Wanita ini ialah isterinya yang kesepuluh.

Bidan itu menunggu sehinggalah bayi lelaki itu selesai dimandikan. Bidan itu langsung tidak marah dengan kelakuan pesakitnya tadi. Sebagai wanita, dia cukup memahami gelora jiwa perasaan yang bermain dalam ahti pesakit itu. Wanita dalam masyarakat Timur Tengah tidak mendapat sebarang kebebasan. Ketika kecil, mereka diperhambakan oleh bapa-bapa atau abang-abang mereka. Setelah besar, mereka menjadi mangsa suami-suami mereka pula. Dalam zaman ini juga yang menyaksikan sebuah negara sepeti India, yang masyarakatnya juga pernah menindas kaum Hawa, kini mampu menerima seorang pemimpin wanita. Tetapi di sini, seorang wanita tidak boleh keluar rumah tanpa ditemani orang lelak, apatah lagi keluar bekerja dan menjadi pemimpin masyarakati! Bidan itu amatlah memahami perasaan pesakitnya sekarang. Ibu mana yang sanggup melihat anaknya hidup dikongkong seumur hidup? Hatinya tidak akan tenang sehinggalah dia melihat anaknya.

Bidan itu kemudiannya membawa bayi itu pada ibunya. Apabila wanita itu membuka kain yang menyeliputi tubuh kecil anaknya untuk memeriksa jantina bayi itu, dia terus menitiskan air mata kegembiraan. Syukurlah, rintihannya didengar Penciptanya.

Bidan itu tidak menyedari kehadiran seorang lelaki yang sedang berdiri di belakang wanita-wanita yang telah membawa pesakit itu ke sini. Dia hanya terlihatnya apabila dia duduk di sebelah isterinya di atas katil. Bidan itu tidak pernah melihat lelaki itu. Tetapi dia cukup mengenalinya. Namanya cukup terkenal di seluruh kota. Dialah Mohammed bin Awad, usahawan ternama itu.

“Tengoklah, habibi. Kita dapat anak lelaki!” kegembiraaan pada wajah wanita itu begitu jelas.
Mohammed tidak berkata apa-apa. Dia mendukung anak lelakinya itu. Air mukanya kosong, seolah-olah dia memikirkan sesuatu.

“Semalam aku mendapat suatu mimpi, Hamida. Mimpi yang aneh,” kata Mohammed pada isterinya. “Anak ini anak aku yang ketujuhbelas. Tetapi dia lain. Apabila dia besar kelak, dia akan mengoncangkan dunia. Dia akan menjadi seorang pempimpin yang ternama. Namanya akan digeruni musuh.”

“Petanda baik dari Tuhan!” kata Hamida dengan gembira. “Apa yang patut kita namakannya, habibi? Pilihlah nama yang baik.”

“Dia akan digeruni musuhnya,” Mohammed mengulangi kata-katanya tadi. “Sepertimana seekor singa digeruni binatang lain. Dia akan dinamakan Osama, maksudnya ‘singa’. Osama bin Mohammed bin Awad bin Laden. Anak ini akan membawa nama baik pada keluarga Bin Laden satu hari nanti.”

Hamida memanjatkan kesyukuran. “Osama bin Laden.... anakku...”

Tuesday, January 25, 2011

Siapa Belasah Harun?

Mereka mungkin tidak tahu yang aku sedang mendengar.... Aku mendengar dengan teliti setiap perkataan yang keluar dari mulut mereka. Terutamanya Harun. Mulutnya celepar mengata aku. Ingin sahaja aku keluar menampar budak itu di mukanya. Tetapi dia dikelilingi pelajar lain. Ada juga beberapa orang cikgu yang tidak jauh dari mereka. Aku tidak mahu dilihat mereka.

Malam itu aku ke asrama lelaki. Para pelajar Muslim di surau, dan setahu aku bilik si Harun mulut celupar itu tiada penghuni bukan Muslim. Aku memasuki bilik tersebut. Aku tinggalkan surat yang telah siap aku taip sebentar tadi di atas katilnya.

Harun seorang pembuli yang panas baran. Kelakuannya tidak disenangi cikgu-cikgu dan murid-murid yang lain. Tetapi aku tidak dapat menahan diri aku setelah mendengar tomahan yang dilemparkan ke arahku olehnya.

Surat itu telah aku taipkan:

"JUMPA AKU DI BELAKANG BLOK A KALAU BERANI. DATANG SEORANG DIRI. AKU PUN TAKKAN BERITAHU SESIAPA. KALAU KAU JANTAN, DATANGLAH. KITA TENGOK SIAPA BAPAK SAMSENG DI SEKOLAH NI - KAU ATAU AKU!"

Harun semestinya akan tercabar. Tengoklah. Akan aku ajarnya puas-puas. Selepas malam ini, sudah tentu dia akan insaf dan tidak akan berani mengacau sesiapa lagi di sekolah ini.

Aku sudah lengkap berpakaian serba hitam. Aku tidak mahu dia mengecam aku. Aku memakai topeng tengkorak - aku tahu itu tidak cukup untuk menakutkannya. Meskipun aku lebih tua, si Harun tinggi lampai dan bertubuh sasa. Sudah tentu dia jauh lebih kuat daripada aku. Sebab itu aku sudah pun merancang segala-galanya petang tadi.

Tangan aku memegang cecair pedih. Tangan aku yang satu lagi memegang pisau pendek. Aku tahu rancangan aku salah. Aku tidak patut berbuat begini. Tetapi Harun tidak patut bercakap begitu. Bukan sahaja murid-murid, tetapi sudah lama satu sekolah ini bersabar dengan kerenahnya. Sudah tiba masanya sesorang melawan balik.

Sudah tiba masanya aku melawan balik.

Lebih kurang setengah jam kemudian, aku terdengar bunyi tapak kaki. Aku melihat dari tempat persembunyian aku. Harun sudah datang... seorang diri. Mukanya bengis. Aku masih teragak-agak. Aku tidak kisah kalau Harun mengalahkan aku dan aku pula yang tercedera. Tetapi macam mana dengan nama baik aku? Aku ada reputasi di sekolah ini. Keluarga aku juga ada reputasi di seluruh bandar ini. Aku tidak mahu mencemarkan semua itu.

Harun semakin hampir. Tanpa mencelarukan fikiran aku lagi, aku terus melompat keluar dari tempat persembunyian aku. Sebelum Harun sempat berbuat apa-apa, aku terus menyembur cecair pedih itu pada matanya. Dia menjerit kesakitan. Aku terus mengambil palang besi di sebelah aku lalu memukulnya berkali-kali. Tiada sesiapa yang terdengar jeritannya. Kawasan itu sememangnya sunyi dan gelap. Aku melepaskan segala rasa marah aku atasnya. Kalau bukan sekarang, bila lagi aku akan mendapat peluang sebegini?

Akhirnya Harun tersungkur. Dia tidak mampu bergerak. Akhir sekali, aku mencalar mukanya dengan pisau pendek aku. Sudah lama Harun sombong dengan wajah tampannya. Sudah tiba masa dia diajar untuk merendah diri. Beginilah caranya. Aku terus mencalar seolah-olah aku tidak akan puas. Biarlah!

Tiba-tiba, aku ternampak cahaya lampu suluh menghampiri kami. Pengawal! Mereka sedang menghampiri tempat tersebut. Aku terus membuka seribu langkah. Salah satu pengawal itu mula mengejar aku. Aku berlari sepantas mungkin. Habislah aku....

Tetapi aku sedar aku tidak boleh membiarkan nama baik aku tercemar. Aku mesti bersembunyi. Ya! Kunci untuk bilik mesyuarat! Aku terlupa memulangkannya ke pejabat petang tadi kerana terlalu asyik memikirkan Harun. Aku terus menaiki tangga untuk ke sana. Aku memasuki bilik itu dan menguncinya dari dalam lalu menyorok di bawah sebuah meja.

Semalaman aku tidak pulang. Aku hanya mampu menghantar SMS kepada ibu dengan mengatakan aku bermalam di rumah kawan. Selepas itu, aku terus mematikan telefon bimbit aku. Sudah tentu pengawal itu tidak akan menyangka aku berada di dalam bilik mesyuarat. Keesokan paginya, aku menghadiri kelas tambahan di blok kuliah. Dalam kelas, aku cuba berbuat-buat seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Namun, aku mula perasan yang pelajar-pelajar yang menginap di asrama tidak datang. Hanya pelajar-pelajar yang tinggal di luar sahaja yang menghadirkan diri ke kelas tambahan pada hari Sabtu itu.

Aku tahu sebabnya. Tetapi aku bertanya pada Cikgu Zaleha di kantin terus setelah kelas tamat. Aku bertanya padanya tentang pelajar-pelajar di asrama.

"Shahir! Awak tak tahu? Budak nakal yang dari kelas awak tu! Alamak... apa nama dia? Harun? Ya! Harun! Semalam ada kes gaduh di asrama. Tak tahulah siapa yang tak puas hati dengan dia. Ramai mungkin. Tetapi habis dia kena belasah, Shahir! Muka dia teruk kena calar! Sampai sekarang dia sendiri tak tahu budak mana yang buat macam tu pada dia. Bertopeng budak yang belasah dia tu!"

Selepas itu, heboh satu sekolah tentang kes Harun dibelasah budak bertopeng. Memandangkan Harun di kelas saya, terpaksalah saya melawatnya bersama beberapa orang kawan supaya tidak menimbulkan sebarang syak wasangka. Harun langsung tidak tahu identiti orang yang menyerangnya malam semalam. Ayahnya, anak sulung Datuk Hamid, salah seorang ahli korporat yang terkaya di bandar ini, berkeras untuk membuat laporan polis. Ibunya pula sudah memberitahu hal ini kepada kenalannya yang mempunyai pengaruh di pihak media.

Aku tidak pulang ke rumah terus selepas itu. Aku menelefon ibu dan memberitahunya yang aku mungkin lambat. Aku terus ke asrama sekolah. Aku kembali ke tempat kejadian. Aku memeriksa tempat tersebut. Pisau, palang besi, topeng... semuanya selamat di rumah aku. Tidak mungkin polis akan mencari cap jari atau rambut aku di mana-mana sebab aku siap bertopeng dan bersarung tangan malam tadi.

Tetapi selamatkah aku? Niat aku baik... tetapi adakah aku tetap perlu menghadapi hukuman Tuhan?

Pada perhimpunan rasmi di sekolah pada pagi Isnin, pengetua kami memberitahu sekolah tentang kes ini. Kebanyakkan pelajar yang tidak ke sekolah pada Sabtu lepas terkejut mendengar berita ini. Semestinya, kebanyakan daripada mereka puas sebab sememangnya Harun dibenci warga sekolah kami.

Pengetua berkeras yang orang yang membelasah Harun perlu tampil dengan pengakuannya selewat-lewatnya sebelum cuti pertengahan tahun bermula. Dia juga menjelaskan yang dia sedar pesalah itu tidak semestinya orang dari asrama kerana malam itu ada majlis di surau dan ramai orang yang tinggal di luar juga ada di sekolah pada masa itu.

Aku terus kaku.

Topik perbualan kebanyakan warga SMK Sir Francis Light pada minggu itu ialah tentang kes Harun. Banyak warga sini - tidak kira cikgu mahupun pelajar pernah menjadi mangsanya. Dia pernah menyeksa banyak pelajar lelaki dengan membuli mereka. Ada juga beberapa orang pelajar perempuan yang selalu diusiknya. Ada juga yang tertawan dengan kekacakannya dan menjalinkan hubungan dengan mereka. Namun hubungan mereka tidak kekal kerana Harun hanya cantik di luarang. Dalamannya seperti binatang! Sekiranya ada mana-mana cikgu yang berani mendendanya, ibu bapanya akan datang bersama dua atau tiga orang peguam mereka. Sebab itu, banyak antara kami yang takut dengan Harun. Pengetua sendiri gerun mendengar nama Harun kerana sedar akan pengaruh dan status keluarganya pada masyarakat Pulau Pinang ini.

Aku tidak pernah berasa selamat. Sesiapa mungkin dikuatiri menjadi budak bertopeng itu. Ada pula khabar angin mengatakan yang Harun itu sebenarnya dibelasah oleh makhluk halus. Tempoh hari, polis datang melihat tempat kejadian dan menjalankan soal siasat. Beberapa budak nakal yang pernah terlibat dalam pergaduhan dengan Harun disoal siasat. Antaranya Raj, Peng, Tahir, Roslan dan beberapa orang lain. Pengawal yang menjumpai Harun juga disoal. Begitu juga dengan beberapa orang cikgu.

Keesokan harinya, orang media pula datang. Sememangnya sekolah kami antara sekolah terbaik di seluruh negara sejak zaman British lagi dah kes ini telah membawa nama buruk kepadanya.

Petang itu, perjumpaan kokurikulum dibatalkan. Semua guru dan pelajar dikumpulan di dewan sekolah. Aku sendiri tidak tahu sebabnya. Puan pengetua terus membuat ucapan. Dia berkata yang dia kecewa dengan semua pelajarnya. Dia tahu yang mesti ada yang tahu tentang hal ini tetapi berdiam diri kerana takut. Dia menyeru supaya sesiapa tampil ke hadapan untuk memberikan maklumat.

Rupa-rupanya, perhimpunan petang itu bukannya perhimpunan biasa, tetapi satu perbicaraan mahkamah! Suatu perbicaraan mahkamah tanpa sebarang peguam, saksi mahupun tertuduh. Hanya ada kes. Oh ya! Ada hakim sebenarnya - puan pengetua sendiri!

Pengetua berkeras yang tiada sesiapa dibenarkan pulang sehinggalah sekurang-kurangnya satu petunguk diperoleh. termasuklah cikgu-cikgu! Apakah?!

Buat beberapa minit, keadaan sunyi-sepi. Satu sekolah tahu yang pengetua kami seorang wanita yang sangat tegas. Guru-guru sangat teliti dalam menjalankan tugas kerana takut dengannya. Kami sedar ada kemungkinan kami terpaksa bermalam di dewan itu....

Tiba-tiba, Peng berjalan ke hadapan. Lebih 1000 pasangan mata memandang ke arahnya. Dia berbisik sesuatu pada telinga pengetua. Wanita separuh umur itu memimpinnya ke pembesar suara dan menyuruhnya memberitahu semua orang apa-apa yang dibisiknya tadi.

"Errrr... selamat petang semua. Nama saya... Peng. Saya dari kelas 5 Jebat. Saya... saya rasa... saya tahu siapa yang pukul Harun malam itu...".

Dewan itu yang tadinya diam terus bising dengan suara warga sekolah itu yang terkejut dengan pengakuan Peng. Aku tidak dapat menahan diri aku. Tidak! Tidak mungkin Peng tahu akulah orangnya. Mungkin dia tersilap. Mungkin dia hanya ada andaian.

"Senyap!!!!!!!!!!!" pengetua menjerit tanpa menggunkan pembesar suara. "Peng, teruskan. Siapa orang tu? Awak pasti?"

Peng masih terketar-ketar. "Saya rasa.... Saya pun tak pasti. Tapi saya tahu... Tahir lama berdendam dengan Harun sebab dia rampas girlfriend dia..."

Sekali lagi seluruh dewan kembali menjadi bising. Sememangnya satu sekolah tahu tentang pergaduhan antara Tahir dan Harun kerana berebut seorang budak perempuan. Tetapi hal itu sudah lama berlalu. Susah juga untuk sesiapa percaya yang Tahir mampu membelasah Harun seorang diri sehingga seteruk itu. Tahir bertubuh kecil kalau dibandingkan dengan Harun.

Tahir pula dipanggil ke hadapan.

"Saya tak pernah bercakap dengan Harun pun selepas kes hujung tahun lepas. Saya cuma nak fokus pada SPM. Lagipun saya lambat balik ke asrama malam itu dari surau sebab saya tolong Uztad Azman berkemas dengan beberapa lagi AJK surau."

Semua memandang ke arah uztad itu yang mengangguk-angguk tanda benar. Kurang satu suspek, kembali ke kosong. Namun, Tahir belum habis bercakap lagi.

"Tapi... dua hari lepas, saya terdengar Roslan bersembang dengan kawan-kawannya di makmal fizik. Roslan kata dia dan Raj ke kawasan belakang Blok A untuk hisap rokok. Masa tu... mereka ternampak something menyorok di belakang dinding...."

Sekarang giliran Raj dan Roslan pula ke hadapan dewan. Mereka nampak sangat takut. Aku tertanya-tanya. Apakah mereka akan menyalahkan satu sama lain sampailah tiada apa-apa petunjuk diperoleh?

Raj dan Roslan masing-masing memujuk satu sama lain untuk bercakap di hadapan. Kedua-duanya nampak ketakutan. Akhrinya, pengetua terpaksa menarik Raj ke depan pembesar suara untuk bercakap.

"Saya Raj. Errrr... kami.... saya dan Roslan... errr...," Raj menggaru-garu kepalanya. Dia memandang ke belakang. Pengetua memandang ke arahnya dengan mata merah. Raj takut dan terus menyambung ucapannya. "Sebenarnya... saya pasti ramai yang takkan percayakan kami. Sebab apa yang kami nampak... pelik. Kami nampak siapa yang pukul Harun malam tu. Dan orang tu... well.... dia bukan orang. Dia hantu..."

Kedengaran beberapa orang budak perempuan terjerit ketakutan kerana terlalu takut. Sememangnya sekolah ini terkenal dengan cerita-cerita seramnya. Hampir tiap tahun ada sahaja kes histeria. Namun, tiada sesiapa menyangka yang hantu di sini boleh bertindak sebegini.

"Apa yang awak merepek ni, Raj?" pengetua menyoal.

"Betul, cikgu. Roslan dengan saya nampak malam tu... hantu tu pakaiannya semua hitam. Kepala dia macam tengkorak manusia... Sangat seram, cikgu!" Raj menggigil ketakutan. Tiba-tiba, Roslan yang berdiri di sebelahnya terpengsan. Puan pengetua termelatah sedikit melihat budak itu jatuh begitu sahaja. Beberapa cikgu lelaki mengangkatnya ke bilik rawatan.

Aku tidak percaya. Aku dilihat! Dua budak itu ternampak aku malam itu!

Setelah pengetua berjaya menenagkan keadaan, perbicaraan dimulakan semula. Kali ini, Uztad Azman sendiri membawa seorang budak tingkatan empat bernama Abu ke hadapan.

"Hai, nama saya Abu. Saya tinggal satu dorm dengan Harun. Hmmm... saya tidak mahu menuding jari pada sesiapa... tetapi saya mungkin ada petunjuk. Errr..." dia mengeluarkan surat yang aku tinggalkan atas katil Harun malam itu. "Saya tak tunjukkan surat ini pada sesiapa sebab saya baru jumpa di bawah katil saya semalam masa saya tengah menyapu bilik saya. Katil saya sebelah katil Harun. Saya rasa surat ini untuk Harun sebenarnya...."

Pengetua terus merampas surat itu dari tangan Abu lalu membacakannya dengan kuat. "Kerja siapa ni? Kerja samseng mana ni?" perempuan itu menjerit sekuat hati. Semua terdiam. Tidak disangka kes ini sebegitu serius.

Peng, Tahir, Raj, Roslan dan Abu masih berdiri di hadapan dewan. Ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka. Gerak hati aku selalunya betul. Aku rasa kali ini juga ia tidak salah.

Pengetua meminta beberapa orang guru disiplin membawa Raj, Peng dan Tahir jauh ke bilik guru sebentar. Abu pula dihantar balik ke tempat duduknya. Pengetua mula menyoal Roslan seorang diri di hadapan seluruh sekolah.

"Lan, cikgu sebenarnya cikgu kenal awak dan Raj dari Tingkatan Satu lagi. Kamu berdua memang baik masa tu. Kamulah pelajar paling rajin dan pandai dalam kelas kamu. Cikgu-cikgu kamu semua sayangkan kamu. Kawan-kawan kamu yang lain pun suka pada kamu. Tapi.... lepas kamu berkawan dengan Harun, kamu beruda berubah, kan? Terutamanya si Raj. Saya tahu... awak sangat baik, Lan. Tapi Raj dah terpengaruh dengan sikap Harun. Apa-apa masalah pun awak dilibatkan sama, kan? Macam masa Raj dengan Harun gaduh besar tahun lepas. Masalah tu antara mereka berdua saja, kan? Tapi awak pun dilibatkan sama. Kasihan awak. Awak jadi mangsa. Semuanya sebab Raj, kan?" pengetua berkata. Suaranya yang garang tadi sekarang lembut. Roslan mengangguk-angguk sahaja.

"Sekarang, cikgu tahu si Raj tu dah lama berdendam dengar Harun, kan? Cikgu tahu, dia yang merancang untuk belasah Harun, kan? Malam tu kamu berdua ke Blok A. Lepas tu, dia paksa awak untuk buat sekali, kan?" pengetua menyoal lagi.

Keadaan diam. Semua orang dalam dewan itu menunggu jawapan Roslan. Akhirnya, budak itu mengangguk. Dewan menjadi bising semula.

"Ta... Tapi... Bukan kami yang pukul dia, cikgu. Plan kami tak jadi malam tu. Sebab kami lari balik ke asrama lepas kami nampak hantu tu..." Roslan bertegas.

"Dahlah tu, Lan. Tu saja yang cikgu nak tahu dari kamu," pengetua tersenyum sinis. Dalam hatiku, aku kagum melihat perempuan itu. Memang tidak sia-sia pengalamannya menjadi guru untuk berpuluh-puluh tahun. Dia pandai membuat pelajar bersalah mengaku kesalahannya.

Cuma kali ini dia tersilap sedikit.

Tidak lama kemudian, guru-guru disiplin tadi pulang ke dewan dengan Raj, Tahir dan Peng. Mereka membincangkan sesuatu dengan pengetua. Aku cuba mendengar percakapan mereka tetapi tidak mampu. Kemudian, pengetua kembali ke pembesar suara.

"Jadi pelajar-pelajar, sekarang kamu tahu kamu tak boleh tipu kami. Kami cikgu kamu. Kami lagi lama hidup dan kami tahu bila kamu menipu dan macam mana kamu menipu. Tadi kamu nampak cikgu dah paksa Roslan mengaku kesalahan dia. Di bilik guru, cikgu-cikgu dari panel disiplin pun menyoal tiga budak yang lain ni. Raj pun sama-sama mengaku merancang untuk belasah Harun. Tapi ceritanya sama dengan Roslan. Kononnya mereka lari selepas ternampak hantu...

"Satu lagi. Tahir pun mengaku cuba nak membelasah Harun. Tapi kononnya, rancangan dia pun tak menjadi. Sebab sebelum sempat dia ikut Harun ke belakang Blok A tu untuk pukul dia, kononnya dah ada orang pukul dia! Apa cerita ni?!"

Barulah aku faham semuanya. Pengawal yang mengejar aku malam itu bukannya pengawal! Tapi Tahir!

"Mungkin kamu tak percaya..." pengetua menyambung ucapannya. "Tapi Tahir pun ada pembantunya. Cuba teka siapa?"

Aku terkejut. Tahir ada pembantu. Mungkin aku tidak perasan sebab terlalu cemas.

"Abu! Tolong ke depan!" pengetua menyahut. Semua terkejut. Budak ini yang nampak langsung tidak bersalah, malah memberikan petunjuk yang sangat baik juga terlibat sama?!

"Tahir cuba berbuat-buat macam budak baik dengan membantu Uztad Azman di surau. Malam itu, selepas Abu nampak teman sebiliknya ke Blok A, dia tahu inilah peluangnya nak balas dendam sebab dia dah tak tahan dibuli Harun tiap malam, kan Abu? Si Tahir pun masih tak insaf lagi... masih nak balas dendam sebab buah hatinya dirampas. Jadi kedua-duanya ikut Harun ke Blok A. Betul tak, kamu berdua?" pengetua bertanya pada Abu dan Tahir.

Mata Abu masih terbeliak besar, masih terkejut. Tahir pula menggeleng. "Tak, cikgu! Memang bila kami sampai di sana, Harun dah kena belasah. Saya terus kejar orang tu tapi dia terlepas. Abu pula pergi cari pengawal. Ya, memang kami rancang nak pukul Harun. Tapi bukan kami, cikgu! Bukan kami! Kami tak sempat nak buat apa-apa pun!" Tahir mula menangis teresak-esak.

"Kamu macam mana?" cikgu menyoal Peng pula.

"Saya... saya kan tak buat apa-apa..."

"Betul? Sebab saya baru dapat panggilan dari balai polis yang mengatakan awak ada upah samseng dari luar untuk pukul Harun. Masalah awak lain. Yang empat ni cikgu kena laporkan mereka ke balai. Tapi awak ada 'jemputan khas' dari balai," kata pengetua, sinis.

Peng terkejut. Memang sah gerak hati aku. Tapi aku tidak menyangka. Kelima-limanya bersalah?

Selepas mendengar lagi sedikit ucapan dan kata-kata terakhir daripada puan pengetua sebagai nasihat, perhimpunan pun tamat. Satu sekolah keluar melihat Peng, Tahir, Raj, Roslan dan Abu dimasukkan ke dalam van salah satu cikgu disiplin dan dibawa ke balai.

Terlalu banyak yang berlaku petang ini. Aku tidak mahu terus pulang ke rumah. Aku mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di padang untuk seketika sambil menghirup udara segar.

Apakah yang baru terjadi di dewan tadi? Bukan ketidakadilan, tetapi pendedahan. Aku kenal Peng, Tahir, Raj, Roslan dan Abu dari Tingkatan Satu lagi. Kelima-limanya budak baik. Mereka mendapat tempat di sekolah ini kerana mendapat 5A dalam UPSR dan prestasi kokurikulum meraka juga sangat mantap. Tetapi selepas memasuki sekolah menengah, segalanya berubah. Alam remaja bukanlah sesuatu yang mudah. Cabarannya sangat hebat. Dalam usia sebegini, seorang manusia akan menganggap dunia ini dia yang punya. Tiada Tuhan, tiada peraturan. Hanya hati. Ikut hati ke jalan mati...

"Cikgu Syahir!" seorang pelajar menyahut namaku.

"Ya!" aku berpaling. Ayer, ketua kelas aku rupanya.

"Cikgu, saya rasa saya patut minta maaf pada cikgu."

"Hah? Kenapa?"

"Kan dulu cikgu yang minta saya jaga Harun, kan? Pastikan dia tak buat apa-apa yang tak baik. Cuma dia tu tak hormat pada siapa-siapa. Macam mana saya nak jaga dia? Sebab tulah saya rasa saya patut minta maaf...."

"Tak payahlah, Ayer. Awak tak buat apa-apa pun. Hmmm... nak buat apa? Bukan semua budak macam awak. Rajin, baik... sejuk hati orang tua awak. Harun tu dah dimanjakan dengan hartakeluarga dia. Biarkanlah.... Mungkin esok cikgu kena lawat dia di hospital. Tak kisahlah dia cakap apa-apa pasal cikgu pun... cikgu tetap cikgu kelas dia, kan? Dah tanggungjawab cikgu untuk... untuk..."

"Apa cikgu...?"

"Untuk ajar dia. Untuk didik dia. Tak kisah apa cara sekalipun, dia kena diajar."

Aku tidak dapat berkata-kata. Betulkah cara aku?

"Baiklah, cikgu. Bas saya dah sampai. Saya pergi dulu cikgu. Bye!"

"Bye!"

Sambil otak aku celaru memikirkan semuanya, aku berjalan ke arah matahari terbenam...