Aku sabar menunggu di luar balai polis. Ayah masih di dalam untuk mengikat jamin bagi mengeluarkan Johan dari lokap. Peristiwa ini bukan kali pertama ayah terpaksa ke lokap bagi membawa adikku pulang ke rumah.
Tidak lama kemudian, ayah menarik Johan keluar dan menujuk ke arah kereta. Ayah sememangnya sangat marah. Dia menyerahkan kunci kereta kepadaku. Perjalanan kami pulang ke rumah agak kekok. Tiada sesiapa yang mahu bersuara. Ayah masih menahan geram. Johan yang terduduk di belakang tunduk malu sepanjang perjalanan. Mukanya lebam kerana bergaduh awal petang tadi.
"Johan, abang nak kau janji dengan kami semua lepas ni Johan takkan gaduh-gaduh lagi dah. Ni kali terakhir. Boleh?" aku cuba memecahkan kesunyian antara kami bertiga.
"Tak ada guna, Nabil. Dia dah berapa kali janji dengan ayah sebelum ni. Buat lagi juga. Malukan keluarga kita saja adik kau ni, Nabil. Bagi tahu dia kalau dia nak buat perangai macam ni lagi, ayah kena hantar dia ke sekolah asrama. Baru sedar sikit..." ayah berkata.
Johan tidak menjawab. Dia hanya memandang ke arah ayah dengan rasa benci. Mungkin aku lebih memahami keadaan adikku yang hanya mahukan perhatian. Maklumlah, sejak ayah dinaikkan pangkat, dia jarang di rumah. Dia sering di luar negeri atas urusan kerja. Sejak ibu meninggal ketika Nabil masih kanak-kanak, kami adik-beradik yang terpaksa menjaga satu sama lain setiap kali ayah tiada. Sekarang aku sudah di kolej.
Abang sulungku yang baru pulang dari Dublin setelah tamat pengajian perubatannya ditugaskan di Johor Bahru. Kakak pula baru memasuki tahun terakhir pengajian kejuruteraannya di Vancouver. Abang keduaku masih belajar di maktab perguruan di Kota Bharu. Kakak keduaku pula baru diterima masuk ke dalam kolej kejururawatan di Sungai Petani. Aku pula akan ke Manipal tidak lama lagi untuk mengambil jurusan pergigian. Sedang kami adik-beradik yang lebih tua berjaya dalam pelajaran kami, adik bongsu kami pula hanya mendapat dua 'A' dalam peperiksaan PMR tahun lepas.
Di sekolah juga Johan banyak masalah disiplin. Sudah beberapa kali ayah dipanggil untuk berjumpa dengan pengetua dan guru disiplin. Hampir semua warga sekolah itu amat mengenali keluarga kami memandangkan kesemua adik-beradik kami pernah belajar di sana dari Tingkatan Satu hinggalah tamat SPM. Meskipun hanya sebuah sekolah harian, sekolah itu mendapat gelaran sekolah elit kerana hanya menerima pelajar yang bijak dan pernah melahirkan banyak tokoh terkenal. Johan dan kawan-kawan rapatnya sudah banyak membusukkan nama baik sekolah kami.
Keesokan harinya, Johan langsung tidak keluar dari biliknya. Kakak kami yang belajar di Sungai Petani juga pulang ke Pulau Pinang seperti setiap hujung minggu. Dia juga ingin berjumpa dengan Johan. Tetapi dia enggan membuka pintunya. Ayah pula terpaksa bekerja meskipun hari Sabtu. Terpaksalah aku mencari kunci untuk membuka pintu bilik. Aku tidak terkejut apabila melihat biliknya kosong. Seperti jangkaanku, Johan telah mengambil motorsikalnya dan ke bandar untuk melepak dengan kawan-kawannya.
Aku dan kakak sama-sama menyediakan makan malam. Sudah banyak kali kami cuba memanggil telefon bimbitnya. Tetapi dia tidak menjawab. Kami duduk di ruang tamu sambil menonton televisyen. Rasanya hanya aku dan kakak akan bermakan malam di rumah kerana ayah dan Johan tidak balik-balik.
Sedang kami bersiap untuk masuk tidur, Johan pulang. Aku terkejut melihatnya. Kepalanya licin botak. Aku mahu menegurnya, tetapi kakak berbisik padaku supaya jangan. Biar ayah sahaja yang berurusan dengannya. Tiada guna bertengkar dengannya malam-malam begini.
Pagi Isnin itu, Johan mengejutkan aku dari tidur. Katanya motorsikalnya rosak dan cuaca pula hujan. Dia meminta tolong aku untuk menghantarnya ke sekolah. Aku terus bangun dan bersiap untuk berbuat demikian. Maklumlah, keangkuhan adikku itu melarangnya daripada meminta tolong dari ahli keluarganya sendiri.
Aku membawanya ke sekolah dengan kereta. Mahu sahaja aku bertanya padanya tentang reaksi guru-gurunya apabila melihat gaya botaknya. Tidakkah mereka akan semakin marah padanya?
Sedang Johan berjalan menuju ke arah pintu sekolah, dia menghampiri seorang lagi budak yang berkerusi roda. Budak itu juga berkepala botak. Malah ada parut pada kepalanya. Tiba-tiba, aku dihampiri seorang wanita separuh umur.
"Adik! Adik ni abang budak Johan tu ke?" dia bertanya.
"Ya, saya. Kenapa, kak?" aku bertanya kembali.
"Tak. Saya mak Alex., budak yang pakai kerusi roda tu. Minggu lepas Alex kena langgar dengan lori. Sejak tu, dia kena pakai kerusi roda untuk sampailah dia sembuh. Kepalanya pun kena dibotakkan sebab kena buat pembedahan. Si Johan tu la... kakak dengar cerita dia budak nakal. Tapi dia baik hati sampai sanggup botakkan kepala dia juga supaya Alex tak rasa keseorangan. Memang baik hatinya."
Aku terkilan. Benarkah begitu niat adikku? Ya Tuhanku...
"Adik memang bertuah sebab dapat adik macam Johan tu. Ok. Kakak dah lambat untuk kerja. Jumpa lagi lain kali," lalu kakak itu beredar dari situ.
Aku masih memandang ke arah Johan. Kenapakah Tuhan menyembunyikan kebaikan dalam hati adikku daripada pandangan kami selama ini? Ataukah kami yang sengaja membutakan diri kerana sudahpun mengadilinya tanpa mengenalinya dengan betul?
Dalam hati, aku memanjatkan kesyukuran kepada Maha Pencipta. Syukurlah... adikku bukanlah setan seperti yang kami sangkakan selama ini. Hatinya sungguh mulia. Dia sanggup mengorbankan rambutnya yang cantik dan bergaya yang dijaganya dengan elok selama ini demi kebahagiaan kawannya...
Ya Tuhanku...
No comments:
Post a Comment