Friday, October 28, 2011

Antara Syurga dan Kayangan

DISCLAIMER: CERPEN INI DIAMBIL DARIPADA LAMAN WEB BERITA HARIAN (SINGAPURA). CERPEN INI MEMENANGI TEMPAT PERTAMA DALAM SEBUAH PERTANDINGAN MENULIS ANJURAN AKHBAR SINGAPURA TERSEBUT. CERPEN INI BUKAN HASIL KARYA PEMILIK BLOG YANG COMEL INI. HARAP MAKLUM

Aku sudah tekad dalam hatiku. Dunia hanyalah suatu maya semata-mata. Mungkin hari ini, mungkin esok, masaku di muka bumi ini akan tamat. Aku akan dibawa ke dunia kubur, dan kemudian ke dunia seberang - dunia yang kekal abadi. Maka, kehidupanku di dunia ini bukanlah sepenting persediaanku untuk menghadap dunia yang satu lagi itu, yang akan menentukan masa hadapanku yang sebenar.

Tetapi dunia tetap ladang bagi akhirat. Aku tidak pernah lupa pada kenyataan itu. Aku, Siti Khadijah binti Abdullah, bukanlah manusia daripada golongan alim dan kuat imannya. Ramai yang bersalah sangka padaku, kerana menyamakan ketebalan imanku dengan betapa labuhnya tudungku. Aku juga manusia daif yang tidak bebas daripada godaan syaitan, dengan hanya berbekalkan iman senipis kulit bawang. Tetapi setiap hari aku bersyukur kerana dilahirkan dalam keluarga yang elok segala amalan para ahlinya. Sudah semestinya anak seorang imam dan ustazah mendapat kehormatan yang tinggi pada mata masyarakat.

Sudah semestinya menjadi tanggungjawab setiap hamba-Nya untuk memulakan keluarganya tersendiri bagi menambahkan pengikut Rasullallah di muka bumi. Mungkin di sinilah masyarakat kita kurang berjaya dalam mempersiapkan diri bagi menempuh hidup di akhirat. Kaum Hawa kini dikerah untuk melanjutkan pelajaran dan mencari pekerjaan dengan gaji tinggi, sehingga mereka alpa dengan kewajipan mereka sebagai isteri dan ibu. Tidakkah cukup jika kaum Adam melaksanakan kewajipan mereka, dan kita sebagai balasan melaksanakan kewajipan kita kepada mereka pula?

Dengan berkat Allah Maha Penyayang, aku dikurniakan dengan seorang tunang yang lengkap segala ciri-cirinya sebagai seorang manusia beriman. Aku bertemu dengan Saiful semenjak tingkatan satu lagi semasa mula-mula memasuki sekolah berasrama penuh ini. Memang tidak tersangka persahabatan antara kami itu sebenarnya membawa kepada sesuatu yang lebih indah apabila ibu bapanya sanggup datang meminangku di rumah keluargaku. Hatiku girang menyambut anugerah ini.

Ketika itu, diriku yang lurus bendul membutakan mataku daripada melihat mereka yang iri hati terhadapku. Aku yang tidak pernah memiliki apa-apa keistimewaan secara tiba-tiba mampu mendapat tempat di hati jejaka paling tampan dan bijak di sekolahku. Hal ini menimbulkan banyak persoalan, bukan sahaja dalam kalangan pelajar tetapi guru juga, yang sesetengahnya tidak mempersetujui pertunangan pada usia semuda kami. Tetapi aku tidak melihat ini sebagai satu kesalahan. Aku memulakan hubugang baru ini dengan keberkatan Allah, kerana aku mahu menikahi jejaka ini, bukan untuk membuat maksiat dengannya, seperti yang ditunjukkan dalam filem-filem barat yang 'mereka-mereka' amat minati.

Saiful; si kacak, ketua pengawas, pelajar cemerlang, johan pidato peringkat kebangsaan, pemain bola sepak negeri, cucu kepada salah satu jutawan terkaya di Malaysia, dan kini tunang seorang gadis biasa dari Gua Musang. Sememangnya aku menipu diriku sendiri sekiranya aku tidak mengaku yang aku pernah memandangnya dengan perasaan yang berombak dan membara sebelum ini. Tetapi setelah aku memasuki Tingkatan Empat, dia melamarku. Tidakku sangka pelajar ini juga menyimpan perasaan terhadapku juga selama ini.

Aku masih ingat pertembungan pertama kami ketika di perjumpaan Persatuan Bahasa Melayu semasa tahun pertama aku memasuki sekolah ini. Ketika itu, Saiful sudah berada di Tingkatan Dua.

"Gurindam Si Balu Jelita ini sebenarnya merujuk pada seorang wanita yang tidak berpelajaran..." aku cuba menerangkan isi tersirat sajak yang sedang kami bincang ketika itu. Tiba-tiba, aku dipotong oleh Saiful.

"Sebenarnya, gurindam itu tetap gurindam. Bagi saya, gurindam ini membincangkan masalah yang dihadapi oleh kaum wanita akibat ditindas kaum lelaki," kata Saiful.

"Ya? Boleh awak huraikan sikit lagi?" aku mencabarnya dengan muka menyindir.

Saiful tersenyum lalu menyambung hujahnya, "Setiap sajak, buku, cerpen, kitab, apa-apa sahaja atas muka bumi ini ada banyak tafsirannya. Sebagai manusia berakal dengan pemikiran dan keperibadian yang berbeza, kita berhak untuk menyuarakan tafsiran kita yang tersendiri, tak kisahlah kalau berlainan dengan tafsiran orang lain atau bercanggah dengan fahaman kebanyakkan orang tentang sesuatu."

Ketika itu, aku dapat merasakan pipiku mula membakar akibat rasa malu. Mungkin aku tersinggung dengan percubaannya untuk tampil lebih bijak daripadaku hanya sebab dia setahun lebih tua daripadaku. Tetapi lama kelamaan, aku jatuh hati dengan ketampanan dan keyakinan dirinya. Aku, yang untuk seketika memandang serong terhadap budak-budak perempuan lain yang memujanya, kini dalam diam mula menyimpan perasaan terhadapnya juga. Terus aku teringat nasihat seorang guruku ketika zaman sekolah rendahku tentang memandang serong terhadap orang lain.

"Ingat, Jah. Jangan kita sekali-kali pandang serong pada orang lain. Kalau orang lain pakai baju ketat, terdedah sana sini, mungkin sebab mereka tidak mendapat didikan yang cukup, jadi terpaksa mencari perhatian dengan cara itu. Kalau orang lain nampak kotor dan tak terurus, mungkin mereka terpaksa bekerja semalaman untuk menampung keluarga mereka. Bukannya mereka tak tahu menjaga kebersihan."

Meskipun Saiful tampak sempurna dalam setiap segi, dia juga hamba Allah yang daif. Dia juga mampu hilang kesabarannya apabila ada waktunya. Satu petang, Saiful ditangkap bertumbuk dengan seorang pelajar baru dan dia terus dibawa ke pejabat pengetua untuk disoal. Ketika itu, aku baru pulang ke asrama selepas latihan bola jaring. Apabila aku diberitahu tentang hal ini oleh sahabat karibku Fatimah, aku terus bergegas ke bangunan pentadbiran. Cikgu Rahman, guru disiplin tidak membenarkan aku masuk kerana pengetua kami, Datin Rogayah sedang berbincang dengan Saiful dan pelajar satu lagi itu tentang hal ini.

Malam itu, selepas bacaan yasin di surau, aku ditemankan Saiful berjalan pulang ke kawasan asrama. Semua pelajar lain sudah pulang. Hanya tinggal kami berdua kerana kami membantu pekerja surau membersihkan kawasan yang digunakan. Saiful memberitahu aku yang dia tidak berpuas hati dengan perangai Thomas Ng, yang membuat rayuan pada pihak atasan supaya pencalonan pengawas baru dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera untuk tahun itu. Thomas merupakan salah satu pelajar bukan Bumiputera yang pertama di sini sejak sekolah kami membuka ruang untuk mereka daripada keturunan lain memasukinya.

"Dia tak faham. Mereka orang Cina dah pandai dalam bab belajar semua ni. Kita orang Melayu ada kokurikulum dengan kedudukan pengawas saja. Kalau yang ni pun kita bagi pada mereka, macam mana nasib kita budak Melayu di sekolah ni? Lingkuplah kita! Mana adil? Adil tak semestinya sama rata. Sebab tu abang soal dia pasal hal ni. Tiba-tiba dia mula tengking. Abang naik angin. Tu lah abang tertumbuk dia tu. Bukan sengaja pun," Saiful berkata.

"Mungkin betul cakap kau. Tetapi apa hak kita untuk menghalang orang lain daripada mendapat kebebasan yang sama dengan kita, hanya kerana mereka dianugerahkan dengan akal yang lebih maju dan bijak?" tiba-tiba kedengaran suara Arif dan Hafiz, dua pelajar Tingkatan Dua yang sedang lalu di hadapan kami. Seperti selalu, mungkin mereka sedang membincangkan jalan cerita komik kegemaran mereka dalam nada suara kuat mereka yang seringkali menganggu perhatian orang lain.

 Tetapi aku hanya berdiam diri. Saiful nampak sangat bingung sejak pergaduhan petang tadi lalu aku kira elok kalau aku tidak menambahkan lagi masalahnya.

Apabila sampai di blok asrama puteri, aku memandang ke arah matanya sebelum kami berpisah buat malam itu. Matanya sangat mengoda. Aku dapat merasakan kehadiran orang ketiga ketika itu, yang berbisik dalam telingaku untuk memeluk Saiful dan meraba-raba segala otok lengan dan dadanya itu yang tampak sasa dan sentiasa mengoncang keimananku. Tetapi Saiful hanya mengucapkan selamat malam lalu berjalan balik ke blok asrama putera. Ketika itu, aku terus memanjatkan kesyukuran pada-Nya kerana mengurniakanku seorang bakal teman hidup yang kuat imannya sehingga mampu menempis godaan syaitan yang terkuat sekalipun. Amin...

Esok harinya, aku pulang ke asrama setelah tamat temuduga pengawas perpustakaan. Dari jauh, aku dapat mendengar jeritan pelajar perempuan yang sedang lari bertempiaran seolah-olah ternampak sesuatu yang sangat menakutkan. Aku terus bergegas ke asrama untuk mendapat tahu hal sebenar. Rupa-rupanya bukannya hantu, tetapi hanyalah seorang pelajar baru India yang sesat jalan! Dia memperkenalkan dirinya sebagai Surya sambil menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan. Buat sedetik itu, aku terlupa batasanku sebagai seorang wanita. Mungkin kerana matanya yang bersinar-sinar dan senyuman manis pada wajah cerianya yang mendorongku untuk berbuat begitu. Lalu aku menunjukkannya jalan ke bangunan pentadibiran.

Malang sekali, aku tidak sedar yang perkenalan antara aku dan Surya akan mengubah hidupku buat mulai hari itu. Atau mungkin aku terlalu alpa sehingga tidak menyedari apa-apa petanda buruk yang Allah turunkan.

Aku tidak pernah berkawan rapat dengan mana-mana budak lelaki sebelum ini. Teman-teman karibku semenjak zaman pra-sekolah lagi hanyalah orang perempuan. Sememangnya begitu tuntutan syariah, bukan? Seorang Muslimah haruslah menjaga batasan pergaulannya dengan orang lelaki. Tetapi sejak aku berkenalana dengan Surya, aku terfikir, tidak salah berkawan dengan seorang budak lelaki, asalkan kita menjaga segala batasan dalam pergaulan, bukan?

Kebetulan, Surya juga cemerlang dalam pemilihan pengawas perpustakaan pada tahun tersebut. Kami ditugaskan untuk membantu pustakawan setiap hari Jumaat, semasa waktu rehat dan setelah tamat waktu persekolahan. Surya bukan sahaja pelajar keturunan India yang pertama di sekolah kami, tetapi juga sahabat India pertama aku. Maklumlah, di Gua Musang tidak ramai keluarga bukan Melayu. Sebelum ini, aku hanya mengenali dua orang India; satu bekas guru Bahasa Inggeris aku semasa di sekolah rendah, dan satu lagi ketua kerani sekolah menengah aku sekaran ini.

Aku langsung tidak menyangka aku berkongsi begitu banyak persamaan dengan Surya. Dia juga amat meminati membaca novel. Malang sekali, keluarganya bukanlah seperti keluarga aku. Ibunya meninggalkannya ketika dia masih kecil. Ayahnya pula kaki botol. Tetapi syukurlah, Surya sangat rapat dengan paderi kuil di kawasan ladang getah di tempat tinggalnya. Dia dididik menjadi pemuda yang berbudi pekerti mulia. Dia jugalah tempat aku menceritakan segala masalahku; cerita-cerita peribadiku yang tidak mampu aku ceritakan pada kawan-kawan perempuanku.

Persahabatanku dengan Surya juga membuka ruang untuk aku mendalami lebih banyak ilmu yang tidak pernah aku anggap sesuatu yang penting sebelum ini. Aku mula berbicara dalam Bahasa Inggeris dengan Surya untuk menajamkan lagi pertuturan aku. Dalam aku banyak membaca, aku juga pernah mendapat tahu bahawa bukan sahaja agama Nasrani dan Yahudi, malahan banyak lagi agama lain juga merupakan agama Ahli Kitab.

"Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thanghut itu," maka antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kami di muka bumi dan perhatikanlah kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul). (An Nahl: 36)."

Surya agak terkejut mendengar ayat-ayat suci ini yang dipetik dari Al-Quran. Dia sangat suka mendengar aku bercerita tentang kisah-kisah nabi dan juga cerita pengembaraan kegemaranku tentang perjuangan Nabi Muhammad S.A.W dalam menyebarkan dakwahnya. Aku juga sering bertanya pada Surya tentang ajaran agama Hindu. Sudah tentu, seperti agama lain yang diamalkan di negara ini, agama Hindu juga menyeru penganutnya untuk berbuat baik di dunia. Tetapi, apakah agama itu agama benar? Apakah agama itu mampu menyelamatkan umatnya daripada azab neraka? Apakah agama itu menyeru umatnya untuk menyebah Tuhan yang satu itu, atau hanya menyembah segala berhala di kuil-kuil mereka?


"Jah, dengar sini. Orang Hindu menyembah menghadap berhala, bukan bermakna umat Hindu menyembah berhala. Tetapi umat Hindu menyembah atas arahan Tuhan. Tuhan mengarahkan umat Hindu untuk sembahyang, kena menghadap berhala. Ini juga bukan bermakna Tuhan itu ada dalam berhala. Begitu juga dengan manusia dan telefon. Ibu kita menelefon kita menggunakan telefon, ini bukan bermakna ibu kita ada dalam telefon tu. Tetapi syarikat telekomunikasi menetapkan peraturan, kalau hendak cakap dengan ibu melalui telefon, kena dail nombor kita, barulah talian akan bersambung antara kita dan ibu kita, dan kita boleh berbual melalui telefon itu walaupun ibu kita tiada dalam handphone itu," Surya menerangkan padaku.

Aku sukar melelapkan mata pada malam itu. Apakah benar semua yang aku dengar petang tadi? Sukar juga untuk aku bayangkan penganut-penganut agama lain yang berbuat baik di dunia seperti Surya tiba-tiba dibaham api neraka semata-mata kerana mereka tidak mempercayai agama yang sebenar seperti ditafsir oleh sesetengah ahli agama.


Beberapa hari kemudian, aku dan beberapa orang kawanku pergi menyokong pasukan boleh sepak sekolah kami yang sedang bertanding dengan pasukan sebuah sekolah berdekatan. Apabila sampai di sana, aku diberitahu yang Saiful jatuh sakit tadi pagi dan kini ada di bilik sakit. Aku pun pergi seorang diri untuk melihat keadaan tunangku itu.

Astaghfirullahzim! Buat seketika, aku tidak mempercayai apa-apa yang berlaku di depan mataku. Saiful dan Thomas Ng, kedua-duanya dalam keadaan telanjang bulat sedang meraba-raba tubuh satu sama lain. Jijik aku melihatnya. Saiful sebagai kapten pasukan bola sepaknya mengaibaikan tanggungjawabnya. Sebaliknya dia ke sini untuk membuat onar. Aku terkaku di situ buat seketika. Apabila mereka berdua mula cemas dan memakai pakaian mereka, aku terus berlari pulang ke bilik asramaku. Apa yang baru terjadi? Kenapa segalanya menjadi begini?

Aku tidak berani menghadapnya keesokan harinya. Sudah tentu akan kekok bagi kami. Apa mungkin alasannya? Tunangku yang aku anggap anugerah itu bukanlah berlian yang sempurna seperti yang aku sangkakan, tetapi hanyalah kaca - kaca yang retak. Dia sakit. Sudah tentu dia sakit, bukan? Tidak mungkin seorang lelaki yang gagah perkasa sepertinya sebenarnya seorang lelaki dayus pada dalamanya. Apakah lelaki yang bakal menjadi imam bagi setiap solatku ini pada hakikatnya menyimpan berahi pada kaum sejenisnya? Adakah kerana itu dia tidak pernah tergoda untuk mengambil kesempatan terhadap aku atau mana-mana gadis selama ini? Kerana minatnya ialah pada sesuatu yang lain?

"Abang sakit, Jah. Dari kecik lagi..."kata-kata itu sudah cukup untuk aku memahami keadaannya. Tidak mungkin seorang manusia alim dan senantiasa meningati azab penciptanya membiarkan dirinya disambar ke alam maksiat secara sukarela. Sudah tentu kerana dia sakit. Sakit di otaknya! Aku tahu aku tidak patut membiarkannya begitu. Tidak patut.

"Tak ada doktor yang dapat tolong dia. Jah bawa ke Pakistan atau Saudi pun doktor di sana tak akan dapat tolong dia. Homoseksual ini tak ada ubatnya. Sebab ni bukan penyakit. Ini... ini lain, Jah. Semulajadi kalau ikutkan sains. Jadi yang dapat tolong dia uztad sajalah. Bawa dia jumpa sesiapa pakar agama. Harap-harap boleh dibantu," Surya menasihatiku.

Mungkin benar kata Surya. Setelah puas aku mengkaji segala buku di pusat sumber dan laman web di internet, aku pasti yang tiada badan perubatan sah atas muka bumi ini yang menganggap homoseksual sebagai sesuatu yang bukan semulajadi, sebaliknya dibuat-buat. Aku terus bingung. Bagaimanakah aku memulihkan Saiful? Bagaimanakah aku memimpinnya balik ke jalan Allah? Tiada cara lain lagi. Aku harus membawa hal ini kepada orang yang lebih arif dalam hal hukum agama.

"Jah, sesungguhnya golongan homoseksual adalah antara kaum yang paling dilaknat oleh Allah. Hanya seorang lelaki dan seorang wanita dibenarkan bernikah bagi memulakan keluarga. Allah mengharamkan hubungan sejenis. Uztad tak perlu ceritakan pada kamu kisah kaum Nabil Lut, kan?" jelas Uztad Azhar ketika aku melawat pejabatnya. Aku cuma memberitahunya yang salah seorang kawanku mengaku dirinya homosekual dan tidak tahu care mengatasi masalahnya. Aku langsung tidak menyebut nama tunangku sendiri.

Tetapi uztad, saya ada baca beberapa buku dan laman web. Setahu saya, manusia homosekual memang dilahirkan begitu, dicipta seadanya. Bukannya mereka pilih untuk hidup begitu sebab memang meraka tak ada pilihan lain," aku cuba menjelaskan pada uztad.

"Hah! Itulah! Di sinilah ramai orang muda macam kamu tertipu, Jah. Tertipu dengan segala propaganda Yahudi laknatullah! Memang segala tipu daya mereka diciptakan khas untuk memesongkan akidah umat Islam  supaya kaum mereka terus memerintah dunia. Cara mereka menyebarkan dakyah sesat mereka sangatlah halus... macam sekaranglah. Siapa lagi kalau bukan kaum Yahudi yang menguasai segala badan perubatan antarabangsa, stesen televisyen, syarikat filem, dan segalanya? Melalui semua inilah umat Islam kita mula terpesong!"

"Itu semua teori konspirasi semata-mata. Kalau kita tanya apa-apa bukti kukuh, mesti orang macam dia ni akan terpinga-pinga, garu-garu kepala!" tiba-tiba kedengaran suara kuat Hafiz berdebat dengan Arif lagi, sekali lagi mungkin berbincang tentang salah satu komik kegemaran mereka. Uztad hanya mampu mengeleng kepalanya melihat gelagat kedua-dua anak muda itu.

Mungkin aku tidak dapat membantu Saiful di sini. Mungkin bukan sekarang. Aku memberi salam pada uztad dan meminta diri dahulu.

Ketika aku berjalan ke arah pusat sumber, aku terserempak dengan banyak pelajar dari sekolah lain. Barulah aku teringat. Hari ini sekolahku menjadi tuan rumah untuk pertandingan sukan olahraga peringkat negeri. Sememangnya budaya pelajar sekolah lain tertonjol dengan jelas di hadapan mata kami. Semunnya bergaul dengan bebas tidak kira jantina. Lelaki bersembang dengan perempuan; guru mereka pula tidak ambil peduli. Ada yang tidak menutup aurat dengan sempurna. Ada yang tudungnya singkat tidak menutupi bahu. Kebanyakannya mengenakan baju lengan pendek. Ya Allah, tidakkah mereka takut lengan-lengan dan bahu-bahu mereka akan menimbulkan nafsu syahwat lelaki yang memandang?

"Dah! Cukup! Aku tak mahu berdebat dengan kau! Kan kau dah menang? Balik Kuala Lumpur sajalah! Buat apa lagi di sini?!" kedengaran suara Saiful menengking dengan kuat.

"Aku tak cari gaduh, kawan. Dah sekolah kau kalah dalam sukan, tak apalah. Kita bertanding dalam pertandingan tarian tradisional pula bulan depan di Perak. Hah?! Apa macam? Ada berani? Kita jumpa di sana. Sekolah aku jadi wakil Wilayah Persekutuan. Sekolah kau? Boleh jadi wakil Terengganu ke?" tanya seorang budak lelaki dari sekolah lain. Nadanya sangat sinis.

"Pertandingan tarian? Minta maaflah. Sekolah kami tak masuk benda-benda macam itu. Eh! Cuba kau balik tanya uztad sekolah kau; apa hukum wanita menari di khalayak ramai. Lepas tu baru kau datang sini berdebat dengan aku... kalau tidak...." Saiful mengangkat tangannya untuk menumbuk budak itu. Nasib baik dia dihalang oleh beberapa orang pengawas lelaki yang lalu di situ.

"Eh! Kenapa pulak? Menari tarian tradisional pun tak boleh? Apa? Kau ingat semua orang sekolah ni Arab ke apa? Manusia mana nak ghairah tengok orang menari tradisional, hah? Bukan menari diskolah, bodoh!" budak itu menjerit pada Saiful. Saiful cuba melepaskan diri untuk melawan budak itu, tetapi terus ditarik pergi oleh para pengawas yang lain. Aku hanya mampu memandang dari jauh. Teruknya perangai budak itu? Mungkin kerana dia anak kota, dia tidak begitu tahu hukum agama.

"Jah! Kenapa dengan tunang awak tu? Masih tak cukup didikan rasanya. Besok, awaklah kena tolong didik dia elok-elok, ya?" sindir salah seorang budak perempuan yang sekelas dengan Saiful. Aku tahu dia semenjak dahulu lagi menyimpan perasaan terhadap Saiful. Seperti banyak lagi perempuan di sekolah ini, dia juga mencemburui aku kerana ditunangkan dengan Saiful. Aku tidak menjawab dan berjalan pergi dari situ. Fikiranku hanya pada Saiful. Apakah yang sudah terjadi dengannya. Dahulunya dia seorang yang penyabar. Sekarang, ini kali kedua dia bertumbuk dengan orang. Memang sah, masalahnya semakin serius. Aku perlu mencari jalan penyelesaian pantas! Insya-Allah!

"Berjihad itu bermaksud mengorbankan diri sendiri atas nama Allah. Kita lihat saja dunia sekarang ini. Islam dilihat sebagai agama pelampau. Tapi pada hakikatnya siapa lagi kalau bukan kafir laknatullah yang mengganas di tanah Islam? Tengok saja Palestin, Iraq, Afghanistan; dan terbaru, Mesir dan Libya. Semuanya porak-peranda sebab anasir-anasir orang Barat ni. Jadi, jihad sekarang ini dilihat sebagai sesuatu yang zalim. Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat malah sampai ke tahap melabel jihad itu sebagai fahaman pengganas. Sampai ke situ," kata Kak Siti yang mengetuai usrah pada malam itu.

"Tapi Kak Siti, apa pandangan Kak Siti tentang pengebom berani mati? Apakah mereka dikira berjihad dan mati syahid selepas meninggal dunia?" tanya Rozita, salah seorang pelajar satu kelas denganku.

"Dah tentu! Bukankah mereka berjuang demi menegakkan agama Allah di dunia? Bukankah mereka mengorbankan nyawa sendiri demi agama Allah? Bukankah mereka berkorban demi kesejahteraan saudara-mara seagama mereka di dunia? Sekiranya syarat-syarat ini sudah dipenuhi, dah tentu dia itu seorang yang mati syahid. Syurga sudah dijanjikan untuknya di akhirat. Insya-Allah...." jelas Kak Siti.

"Kak, macam mana dengan jutaan orang perempuan dan kanak-kanak yang mati akibat bom itu? Berdosa, kan membunuh orang yang tak bersalah? Bukan ke antara hukum berperang termasuklah tidak memusnahkan rumah ibadat orang lain, dan tidak mengapa-apakan golongan perempuan, kanak-kanak dan orang tua? Macam mana seseorang itu dikira mati syahid kalau semua syarat yang ni dilanggar?"tanya Rozita lagi.

Kak Siti memandang kami yang lain dengan matanya merah padam, seolah-olah menahan perasaan geramnya. Dia memberi arahan kepada Syaza, salah satu rakan karibnya supaya membawa Rozita keluar dari usrah malam itu untuk dinasihat secara persendirian supaya fikirannya tidak lagi terpesong ke arah fahaman Barat tentan jihad.

"Dengan sini semua. Tidak sukar untuk orang macam si Rozita jatuh dalam perangkap anasir orang Kafir. Sesungguhnya Barat sememangnya menyebarkan fahaman mereka dalam banyak cara. Tak perlu tengok di Barat, di negara kita sendiri mereka yang memperjuangkan Islam dilabel pelampau dan orang ekstremis. Berbalik pada topik mati syahid tadi; sememangnya adat peperangan akan ada kehilangan nyawa. Siapa kisah  anak-anak atau perempuan-perempuan jalang Kafir terlepas nyawa mereka, hah?! Bukankah neraka jahanam itu sudah pun Allah janjikan untuk mereka? Mati sebab bom ke, kanser ke, mati tua ke, masuk neraka juga!" Kak Siti berhujah dengan semangat.

"Allah-hu Akbhar!" kedengaran laungan semangat rakan-rakan usrah aku, sehinggakan aku terbangun dari fikiranku. Sememangnya aku langsung tidak mampu memberi perhatian semasa usrah tadi kerana asyik terfikir  tentang Saiful. Aku masih belum mencari jalan untuk menyelesaikan masalahnya. Selalunya, Kak Siti mengalakkan kami untuk berkongsi sebarang masalah ketika sesi usrah. Tetapi bagaimana harusku ceritakan perihal Saiful sedangkan sesungguhnya aku sendiri tahu jawapan mereka. Haram. Perbuatan Saiful haram.

Maka aku sendiri akan menjatuhkan nama baik aku dalam mata masyarakat. Tidak cukup sekiranya seseorang itu dilahirkan dalam keluraga yang baik. Seharusnya dia berkorban dan berusaha untuk mengekalkan nama baiknya. Semuanya harus dijaga. Menjaga nama baik. Menjaga. Menjaga itu sangat penting.

Pagi esoknya, aku bangun untuk menunaikan solat berjemaah di surau. Setelah siap mandi dan berpakaian lengkap, aku dan rakan-rakan sebilikku melangkah keluar untuk ke dewan besar untuk perhimpunan. Tiba-tiba, aku dihampiri seorang pengawas. Riak mukanya cemas. Dia memberitahu aku yang pengetua ingin berjumpa denganku segera di pejabatnya. Aku ketakutan. Apakah Saiful ditangkap?

Apabila aku memasuki pejabat itu, kelihatan wajah pengetua, guru kelasku dan beberapa orang guru lain yang agak rimas dan gelisah. Habislah, rosaklah nama baikku di sekolah ini. Hari ini juga aku akan menelefon ummi dan ayah untuk meminta mereka mengambilku pulang ke kampung. Bagaimana harusku meneruskan hidup di sekolah ini setelah semua orang tahu yang tunangku bukanlah manusia normal?

"Jah, duduklah dulu. Cikgu kena beritahu kamu sesuatu," Datin Roziah, puan pengetua menjemputku duduk. Aku kini dikelilingi cikgu.

"Jah, sebenarnya.... Saiful hilang sejak malam semalam. Kami dah mencari di semua tempat. Memang dia tak ada di sini. Keluarga dia pun tak tahu apa-apa tentang dia. Mungkin kamu tahu dia ada di mana?" Datin bertanya padaku.

"Hilang?" aku terkejut. Ke manakah Saiful pergi? "Minta maaf, cikgu. Saya tak tahu apa-apa. Kenapa dia lari? Keluarga dia pun tak tahu? Kenapa? Kenapa dia lari? Cikgu dah laporkan pada polis?"

"Dah. Dah. Cikgu baru sekarang balik dari balai," Datin memberi penjelasan. Kami diam buat seketika. "Aduhai, manalah dua orang budak ni pergi?"

"Dua orang? Siapa lagi yang hilang?" aku bertanya.

"Thomas. Budak Cina yang suka cari pasal tu. Dia pun hilang dari malam semalam." Datin menjawab.

Oh! Jadi beginilah berakhirnya pertunangan aku. Ya Allah! Mengapa Kau menguji hamba-Mu yang dayus sebegini? Apakah tunangku sudah kahwin lari bersama kekasihnya? Bagaimana pula dengan janjinya pada aku? Janjinya untuk sehidup semati bersamaku? Janjinya untuk menjadi bapa kepada anak-anakku? Janjinya untuk menjadi imam buat setiap solatku?

Ketika bertugas di pusat sumber, Surya sepeti biasa menjadi tempat aku meluahkan segala isi hatiku. Dia juga tahu tentang Thomas dan Saiful, dan seperti aku, dia juga sudah meneka logik sebalik kehilangan mereka berdua.

"Susah saya nak percaya. Saiful sanggup tinggalkan segalanya; keluarga, pendidikan.... semuanya demi cinta?" Surya masih sukar menerima hakikat itu.

Aku memandang keluar tingkap. Tersergam hutan belantara di belakang kawasan sekolahku. Tidak jauh dari hutan kelihatan kawasan bukit-bukau yang tinggi hingga diliputi kabus yang tebal. Apakah mungkin Saiful dan kekasihnya melarikan diri ke situ? Atau adakah benar dia melarikan diri ke bandar berdekatan melalui kawasan perkampungan yang mengelilingi sekolah kami? Tetapi kenapa pula tiada orang kampung yang terlihat mereka, sedangkan satu-satunya perhentian bas terletak di hadapan sebuah kedai nasi kandar 24 jam? Sudah tentu pemilik kedai ataupun mana-mana pekerja atau pelanggannya ada ternampak mereka di sana, bukan?

Sedang fikiran aku melamun ke arah Saiful, aku ternampak bayangan wajah Surya pada tingkap itu. Aku tidak pernah memandang mana-mana budak lelaki lain di sekolah ini sebagai rupawan, mungkin hanya sebab kekacakan Saiful tiada tolak bandingannya. Tetapi, baru sekarang aku mula melihat ketampanan pada gerak-geri dan wajah Surya. Apakah semua ini?

"Surya..." aku menyahut namanya dengan rasa segan.

"Ya..."

"Awak... Kalaulah, kan? Awak... ditakdirkan jatuh... jatuh cinta dengan wanita Islam... awak... awak sanggup tak peluk Islam?" kata-kata itu terkeluar dari mulutku.

Surya memandangku dengan pelik buat beberapa saat. Mungkin dia terkejut yang aku menyoalnya sebegini. "Saya... saya tak kisah sebenarnya, Jah."

Jauh dalam lubuk hatiku, aku melonjot-lonjat kegirangan.

"Tapi, Jah.... saya nak kekal sebagi orang Hindu. Saya memang tak kisah kalau nak berkahwin dengan orang agama lain, sebab ajaran Hindu mengajar kita setiap agama yang menuntut pengikutnya berbuat baik adalah agama dari Tuhan. Jadi tiada halangan untuk berkakwin dengan orang agama lain. Nak berkahwin dengan orang yang tidak beragama pun boleh, sebab tak semestinya mereka itu orang jahat, kan? Tapi itulah... saya nak kekal Hindu sampai mati...." Surya memberi penjelasan.

Hatiku sayu. Air mukaku malu. Aku terus meminta diri, kononnya mahu ke tandas sekejap. Aku mengunci diriku dalam salah satu bilik air di sana dan terus menangis sepuas-puasnya. Apakah yang telah aku lakukan? Aku terlajak! Harapanku untuk sentiasa menjaga maruahku kini hancur. Hancur di tangan sahabatku sendiri! Bagaimana harusku berdepan dengannya sekarang? Sekarang mesti dia sudah tahu yang aku sebenarnya menyimpan hati terhadapnya. Aku telah membiarkan diriku terdedah sebegini rupa! Aku bukannya wanita biasa, aku seorang Muslimah! Seorang Muslimah yang sepatutunya sentiasa menjaga! Menjaga!

Selepas itu, aku tidak sanggup berhadapan dengan Surya lagi. Aku terus lari pulang ke asrama puteri. Selepas satu bala, Allah turunkan satu lagi bala. Ujian apakah ini, ya Allah? Apakah Kau cuba menguji kesabaranku dengan mencabar keimananku? Mula-mula Saiful pergi begitu sahaja, sekarang aku telah memalukan diriku di hadapan Surya. Apa lagi ujian yang akan kau turunkan padaku lagi selepas ini, ya Allah?

Selepas hari itu, aku terus meletak jawatan sebagai pengawas pusat sumber. Meskipun khabar angin jelas menyatakan yang tahun depan, aku mungkin dilantik sebagai ketua pengawas pusat sumber, aku sanggup melepasku semua itu. Aku tidak perlu lagi berdepan dengan Surya itu lagi. Mungkin Allah takdirkan aku berjumpa dengannya hanya untuk menguji aku. Imanku jauh lebih penting daripada persahabatanku dengan seorang Kafir. Aku tidak perlukannya dalam hidupku lagi.

Ada beberapa kali Surya cuba menghampiriku. Mungkin untuk mendapatkan penjelasan tentant perletakan jawatanku. Tetapi aku tidak mempedulikannya. Kini aku lebih jelas tentang perbuatanku selama ini. Selama ini aku tidak pernah bersendirian dengan mana-mana lelaki bukan muhrim, termasuklah Saiful sendiri. Semua ini demi mejaga maruahku sebagai seoarang Muslimah. Tetapi semenjak Surya memasuki hidupku, aku tidak dapat bayangkan bilangan dosaku yang telah terkumpul. Sudah berapa kali aku bersendirian dalam pusat sumber besar, gelap dan sunyi itu dengan Surya untuk beberapa jam lamanya? Bukankah itu sendiri satu perbuatan berdosa?

Akhirnya cuti pertengahan tahun pun sampai. Masing-masing membuat persediaan untuk pulang ke kampung halaman untuk cuti dua minggu ini. Aku tidak sabar berjumpa dengan ummi dan ayah. Sejak Saiful meninggalkan aku, aku jarang menelefon rumah atau bersembang dengan sesiapa pun. Aku banyak berseorangan. Kini aku telah berjaya melupakan Saiful dan juga Surya. Selepas ini, aku hanya akan menumpukan perhatianku terhadap pelajaran sahaja. Buat masa ini, matlamat aku hanya satu; aku ingin menjadi anak yang baik kepada ummi dan ayah, Insya-Allah.

Bas yang akan membawa kami pulang ke negeri kelahiran masing-masing telah pun sampai. Bas yang akan ke Kelantan seolah-olah memanggilku. Aku terus meletakkan beg aku di tempat letak bagasi dan bergegas masuk ke dalam bas, seakan-akan bandar Gua Musang itu sendiri ada dalam bas itu! Tidak sabar rasanya untuk melihat wajah keluarga tersayang! Tempat duduk kami sudah pun dipilih oleh cikgu bertugas. Pada tempat duduk aku kelihatan sepucuk surat dengan namaku di atasnya. Surat itu dari Surya.

"Ke hadapan sahabatku Jah yang tersayang,

"Saya harap Jah sihat sahaja. Sudah lama kita tidak bertegur sapa. Begitu lama sehinggakan saya rasa seolah-olah saya kita sudah lama tidak berjumpa, sedangkan kita selalu sahaja bertembung. Cuti pertengahan tahun pun sudah mula. Saya harap Jah selamat pulang ke kampung halaman.

"Sekiranya Jah rasa bersalah kerana sering mengelakkan saya sejak Saiful pergi, saya faham sebab Jah berbuat begitu. Jah seorang wanita, dan setiap masyarakat ada tatasusilanya. Tidak elok bagi seorang gadis sunti untuk bersendirian dengan seorang lelaki teruna dalam tempat tertutup yang bukan ahli keluarganya, apatah lagi dalam masyarakat seperti kita yang sangat menjaga maruah kaum wanitanya. Saya amat memahami keadaan Jah. Jadi saya tidak ada hak untuk menyimpan rasa marah terhadap Jah, kerana Jah ada sebab yang kukuh sehingga sanggup memutuskan persahabatan kita.

"Meskipun Jah tidak lagi mahu berkawan dengan saya, saya masih menganggap Jah satu-satunya kawan saya di sekolah ini sebab Jah seorang sahaja yang melayan saya seperti seorang manusia. Pernahkan Jah melihat saya berbual-bual atau berkawan rapat dengan mana-mana budak lain di sini? Mungkin kerana itulah saya begitu merapati Jah. Saya sangat menyayangi dan menghormati Jah. Sebab itu saya perlu memberitahu hal yang sebenar pada Jah.

"Mulai semester depan, saya akan berpindah sekolah. Saya sudah tidak tahan lagi dengan segala tomahan dan hinaan yang dilemparkan ke arah saya. Ada yang berkata sayalah punca Saiful melarikan diri. Kononnya saya yang ada hubungan dengan Jah, dan Saiful meninggalkan Jah akibat makan hati. Bukan itu sahaja. Macam-macam lagi hinaan. Tetapi tidak perlulah saya beritahu Jah. Mungkin agak sensitif untuk dikatakan di sini. Kecoh seluruh asrama lelaki gara-gara khabar angin macam ini. Saya pernah dipukul, dibelasah, barang-barang saya dicuri selalu, buku-buku saya selalu hilang. Semuanya berpunca daripada persahabatan antara kita.

"Syukurlah, mak dan ayah saya memahami keadaan saya. Mereka memanggil saya pulang. Tetapi saya tidak biasa melarikan diri daripada masalah. Cuma kali ini, saya tidak mampu melawan segalanya seorang diri. Saya amat memerlukan seorang kawan. Seorang sahabat. Malang sekali, sahabat itu sudah meninggalkan saya. Saya tidak akan menipu. Hampir setiap malam saya menangis seorang diri bawah selimut saya. Tetapi saya tidak sanggup menganggu Jah. Sebab saya faham Jah pun ada masalah sendiri. Dan saya faham amat penting untuk Jah menjaga.

"Mungkin tidak sempat untuk kita mengucapkan selamat tinggal. Saya akan pulang ke kampung dari stesen bas. Van yang akan membawa kami ke sana akan pergi setengah jam lagi awal daripada kenderaan yang lain. Mungkin semasa Jah tengah membaca surat ini, saya sudah pun menaiki bas saya. Harapan saya, kita berjumpa lagi satu hari nanti...."

Aku tidak mampu lagi membaca surat itu. Aku terus melepaskan segala sebak di dadaku. Tangisan aku begitu kuat sehingga budak-budak lain di bas itu memandangku dengan pelik. Ketika bas yang kami naiki berhenti di  lampu isyarat, aku terus keluar lalu berlari ke arah bandar. Aku tidak menghiraukan jeritan kawan-kawanku, Aku hanya mahu berjumpa dengan Surya sahaja. Aku berjaya menghentikan sebuat teksi yang membawaku terus ke stesen bas.

Apabila aku sampai di stesen, aku mencari-cari Surya. Stesen agak penuh dengan orang ramai hari itu kerana masing-masing pulang ke kampung halaman sempena cuti ini. Aku rimas kerana tidak dapat mencari Surya. Kaunter pula sesak dengan pelanggan dan begitu juga dengan tempat pertanyaan. Di manakah harusku mencari Surya?

Aku menadahkan tanganku sambil berdoa. Ya Allah... ketemukanlah hamba-Mu ini dengan sahabatnya untuk sekali ini sahaja. Untuk kali terakhir ini yang satu sahaja, ya Allah....

Tiba-tiba, sebuah bas besar yang baru hendak meninggalkan kawasan stesen berhenti betul-betul di sebelah aku kerana menunggu jalan raya menjadi kurang sesak untuk keluar. Aku memandang ke atas. Surya melihat ke arahku....

Aku melambai ke arahnya. Dia melambai kembali. Dia memandangku sehinggalah bas itu meninggalkan kawasan stesen.

Selamat tinggal, sahabatku. Semoga kita bertemu lagi, Insya-Allah....

No comments:

Post a Comment