Friday, July 9, 2010

Lagenda Negeri Semboyan

Al-kisah sebuah negeri yang kaya dengan hasil bumi dan kedudukannya yang strategik di antara laluan kerajaan-kerajaan terkuat di rantaunya. Nama negeri itu Semboyan....

Meskipun kaya dan maju dalam pelbagai segi, Semboyan dengan mudah jatuh ke tangan penjajah akibat pergolakan politik antara pembesarnya. Penjajah pun membawa masuk pekerja dari dua buah negeri jajahannya yang lain, iaitu dari Melawati dan Suvarnabumi, untuk memperkembang sektor ekonomi Semboyan yang sememangnya berpotensi tinggi.

Namun menjadi adat penjajah yang mengambil kesempatan terhadap hasil kekayaan sumber bumi tanah air puak Semboyan dan kerajinan puak Melawati dan Suvarnabumi. Lalu, pemimpin berpengaruh dan berpendidikan tinggi daripada ketiga-tiga puak ini bersatu-padu lalu berjuang demi kebebasan negeri Semboyan daripada kuasa penjajah.

Selain kebebasan, para pemimpin juga memperjuangkan penyatuan antara ketiga-tiga puak ini. Pemimpin puak peribumi Semboyan memperakui kerajinan dan kebijaksanaan puak Melawati dan Suvarnabumi yang telah banyak menyumbang ke arah pembangunan ekonomi dan sosial negeri Semboyan, lalu bersetuju untuk memberikan hak kerayatan kepada dua buah puak ini.

Sebagai balasan, pemimpin puak Melawati dan Suvarnabumi setuju untuk memperakui hak istimewa puak peribumi Semboyan dalam beberapa hal seperti pendidikan, perniagaan dan banyak lagi. Dengan itu, termeterailah perjanjian antara ketiga-tiga puak ini dan akhirnya negeri Semboyan bebas daripada cengkaman penjajah.

Puak Melawati dan Suvarnabumi bersyukur pada Maha Pencipta kerana memberikan peluang untuk memulakan kehidupan baru di negeri Semboyan. Rakyat berketurunan puak Melawati yang bijak dalam selok-belok perniagaan dan perdagangan banyak menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negeri baru mereka. Ramai rakyat berketurunan puak Suvarnabumi pula menjadi tok guru, kerani, pakar ubat dan buruh kasar, meskipun mereka antara rakyat paling miskin di negeri Semboyan.

Malangnya selepas beberapa tahun, timbul ketidakpuasan antara pemimpin peribumi Semboyan yang mengaku kononnya wujud ketidaksamarataan dalam pembahagian harta negara antara ketiga-tiga puak ini. Para pemimpin peribumi Semboyan merasakan ahli puak mereka ketinggalan jauh berbanding dua puak yang lain, terutamanya kalau dibandingkan dengan puak Melawati.

Akhrinya, wujud pertelingkahan antara puak peribumi Semboyan dan puak Melawati. Hasilnya, kerajaan negeri tersebut memperkenalkan beberapa undang-undang baru bagi membangunkan puak Melawati. Wang diberikan kepada mereka untuk memulakan perniagaan serta peruntukan khas diberikan untuk menuntut ilmu dan berkerja untuk kerajaan.

Justeru itu, negeri Semboyan mendapat nama buruk di mata dunia. Meskipun terkenal sebagai negeri yang pesat membangun dalam semua aspek, Semboyan dikatakan mendriskiminasikan puak-puak kecilnya. Hasilnya, sejarah pun berulang. Bantuan kuasa luar diminta oleh sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan, lalu negeri Semboyan sekali lagi kehilangan maruah dan kedaulatannya sebagai negeri yang merdeka....


No comments:

Post a Comment