Dia muncul dari belukar. Matanya bersinar-sinar macam binatang – petanda hati nalurinya sejahat Iblis itu sendiri.
“Dah selesai. Lepas ni, dia takkan kacau sesiapa lagi...” Daniel mencuci tangannya yang berdarah dengan air mineralnya.
“Kau tak bunuh dia, kan? Kau kata nak gertak dia saja.... Kau janji, kan?” aku bertanya. Hatiku resah.
“Itu bukan masalah kita, Adam. Yang penting, masalah kita dulu orang tua tu.Dia nak jadi saksi untuk tentang kita di mahkamah nanti. Kalau dah dia tak ada, lagi selamatlah kita. Setakat nak gertak dia, tak boleh tu. Orang tua tu degil. Aku kenal dia. Dah berapa kali aku kena masuk pejabat dia dulu...” Daniel menjawab dengan tenang. Dia terus bangun dan berjalan pergi.
Aku terdiam, tidak mampu berkata-kata. Ke manakah hala tuju kami selepas ini? Ke manakah hala tuju Daniel selepas ini?
Tiba-tiba, aku terasa telefon bimbit dalam kocek seluarku berbunyi.
“Hello?”
“Hello. Ni Adam, kan?”
“Ya, saya. Doktor ke tu?”
“Mana tempat lahir saya? Jawab dulu...”
“Tanah Merah...”
“Ya Tuhanku.... syukurlah. Maaf, Adam. Saya terpaksa pastikan Adam yang bercakap, bukan Daniel. Adam selamatkah? Mana Daniel?”
“Maaf, doktor. Saya tak boleh cakap lama. Kalau abang saya nampak, habislah saya. Saya tak tahu berapa lama saya boleh tahan lagi, doktor. Saya rasa dia baru bunuh cikgu kami dari sekolah...”
“Ya ampun... Tak ada apa yang boleh Adam buat. Dia jauh lebih kuat. Buat masa sekarang. Adam baliklah ke sini. Cuba faham. Adam sebenarnya lagi kuat dari Daniel!”
Aku terus memutuskan talian. Hatiku berbelah bahagi. Daniel perlukan aku. Tanpa aku, semakin banyak orang akan jadi mangsanya. Tapi doktor memanggilku pulang.
Rancangan kami masih sama. Passport kami ada di tangan. Polis mungkin masih mencari kami dalam kawasan Tanjung Rambutan. Panggilan tadi pun terlalu pendek untuk dikesan oleh polis. Masih ada peluang untuk kami ke pelabuhan untuk mengambil bot ke negaran jiran. Masih belum terlambat.
***
Aku teringat kembali masa aku baru dimasukkan ke dalam hospital sakit jiwa di Tanjung Rambutan. Aku baru selesai sesi pertamaku dengan Doktor Raj. Dialah sahabatku di hospital ini. Pagi itu, pak su datang melawatku.
“Penyakit anak saudara encik ni agak runsing. Mungkin encik pernah tengok dalam filem. Kembarnya baru meninggal. Sama macam pasangan kembar yang lain, saya pasti mereka pun sangat rapat masa dia masih hidup dulu. Sebab tu sekarang dia tak mampu terima hakikat yang kembarnya dah mati. Lalu dia mereka watak kembarnya dalam otaknya dan menganggap si mati masih hidup,” Doktor Raj menjelaskan keadaan aku pada pak su.
“Dah macam-macam dia lalui... Apa salah dia?” Pak su mengusap kepalaku. Aku masih berpura-pura tidur di hadapan mereka. “Nasib Adam baik sikit. Dia tinggal dengan saya sejak ayah dia meninggal dulu. Daniel yang tinggal dengan mak dengan ayah tiri dia. Sebab ayah tiri dialah Daniel jadi macam ni...”
Pak su sudah tidak dapat tahan sebak di dadanya. Terpaksalah doktor menenangkan pak su yang menangis. Jururawat pun membawa aku pulang ke bilik kami.
“Aku dah agak! Macam-macam yang dia cakap, kan? Aku tak hidup lagi konon, Aku dah mati konon,” Daniel begitu marah apabila aku memberitahunya tentang segala penipuan Doktor Raj.
“Doktor tu baik orangnya. Tapi... tapi aku pun tak faham kenapa dia sanggup tipu pak su macam tu...” aku cuba memihak pada doktor.
“Doktor tu syaitan! Kau tahu syaitan?! Dah! Tak ada apa yang kita boleh buat kalau kita masih dalam tempat ni! Kita kena keluar. Aku kena tunjukkan diri aku pada pak su dengan mak su. Baru mereka tahu aku masih hidup! Tapi sebelum tu, kita kena uruskan Cikgu Tarmizi tu dulu...”
“Cikgu Tarmizi? Apa kaitan semua ni dengan dia?” aku bertanya.
“Kau dah lupa? Dia nampak kita malam tu di asrama sekolah. Memang kita dah ada kawan-kawan untuk jadi saksi untuk menipu yang kita ada di kelab malam masa tu. Tapi, kalau si Tarmizi tu cakap yang kita ada di asrama malam tu, mahkamah akan tahulah yang kita yang bunuh Diya tu!”
“Kita? Kau! Kau yang bunuh dia... Kalau ada apa-apa masalah, kau yang kena. Bukan aku. Faham?” aku menjawab.
“Aku saja?” Daniel mengilai. “Kau dah lupa? Malam tu kita dah buang segala apa yang boleh polis guna untuk tujukan sebaga bukti atas kita – rambut, cap jari, air mani... semuanya. Sebab tu sampai sekarang polis tak pasti sama ada kita yang bunuh Diya atau orang lain. Tapi kalau si Tarmizi tu ada... mampuslah kita, Adam. Bukan aku saja. Dengan kau sekali terpaksa mereput dalam penjara. Mampus!”
Aku hanya mampu menunduk. Aku takut setiap kali aku terfikir yang ada kemungkinan Daniel tidak akan insaf sampai bila-bila pun...
***
Aku nampak begitu banyak orang dari negara jiran yang memasuki negara aku secara haram. Bot kecil yang baru berlabuh tadi membawa lebih kurang seratus orang dari seberang Selat Melaka. Ada bayi baru lahir sehinggalah nenek tua. Semuanya melarikan diri ke sini demi meninggalkan kemiskinan yang melanda kehidupan mereka di negara asal.
Daniel masih berunding dengan pemilik bot itu untuk membawa kami ke seberang. Aku hanya terduduk di suatu sudut, dikelilingi pendatang haram.
Hatiku masih resah. Aku masih geram apabila memikirkan Doktor Raj yang cuba menganiaya Daniel. Aku terus menelefonnya.
“Doktor! Dulu doktor kata Daniel tak wujud. Dia hanya mainan fikiran saya. Tapi kenapa sekarang doktor cakap seolah-olah dia masih hidup... masih ada dengan saya? Kenapa doktor buat macam ni?”
“Adam, dengar sini. Adam tak faham masalah ni...”
“Tak! Sebenarnya saya dah faham sekarang. Doktor, pak su, mak su... semuanya nak buat aniaya pada dia. Saya tahu dia tak sihat... tapi kenapa sampai menzalimi dia macam ni...”
“Adam, tolong dengar cakap saya...”
“Sudah! Dulu saya anggap doktor macam kawan saya. Sekarang... saya tak tahu pun siapa yang boleh saya percaya. Dah!”
Aku terus memutuskan talian. Aku kecewa dengan doktor. Dunia tidak selamat lagi buat aku dan Daniel. Telefon tadi aku berikan pada seorang anak kecil yang baru sampai sebentar tadi. Benda itu tidak lagi selamat denganku.
“Kamu buat apa di sini?” tanya pemilik bot itu padaku. Loghatnya jelas menunjukkan yang dia bukan dari sini.
“Sebentar tadi abang saya ada cakap sama pak – untuk bawa kami ke seberang. Kami...”
“Berapa banyak duit ada sama kamu?” dia berterus-terang.
Aku terus mengosongkan kocek aku. Duit yang Daniel curi dari Doktor Raj di hospital beberapa jam tadi masih ada dengannya. Duit yang aku curi dari seorang jururawat tidaklah sebanyak itu.
“Saya ada RM50 sahaja, pak. Tolong kami...”
“Baiklah. Baiklah. Naik saja...”
***
Sesampainya kami di seberang, pemilik bot tadi menumpangkan kami ke pekan. Kami terus menukarkan wang Ringgit kami kepada Rupiah. Kemudian, kami menyewa sebuah bilik di hotel murahan dalam kawasan itu.
Perjalanan tadi sangat memenatkan. Aku terus terbaring keletihan. Aku membuka beg aku untuk mengeluar makanan yang ada sementara Daniel mandi. Novel yang pernah Doktor Raj hadiahkan padaku dulu masihku bawa bersama.
Tiba-tiba, seseorang mengetuk pintu bilik kami.
“Minta maaf, pak. Ini kunci lebih yang pak minta...” seorang gadis cantik berdiri di luar. Gadis itu memang jelas bukannya setakat pekerja di hotel itu. Solekannya sangat tebal. Skirt singkat dan baju ketatnya juga semerah gincu pada bibirnya. “Ada apa-apa lagi yang bapak mahu?”
“Tiada apa-apa. Cepat pergi dari sini sebelum...”
“Adam! Siapa tu?!” Daniel baru keluar dari bilik air. Matanya terjolok melihat gadis itu.
“Pekerja hotel saja,” aku berkata lalu berpaling kembali pada gadis itu. “Adik cepat pergi. Tak ada apa-apa lagi...” Aku cuba memaksa gadis itu pergi sebelum Daniel sempat mengapa-apakannya.
“Eh, ajak dia masuklah, Adam!” Daniel terus cuba menarik gadis itu masuk ke dalam. Dia seolah-olah terpukau dengan gadis itu.
“Bukan sekarang, Daniel! Kita baru saja sampai di sini. Kau pergi pakai baju. Lepas tu masuk tidur. Adik boleh pergi sekarang. Selamat malam,” aku terus menguncikan pintu sambil gadis itu memandang aku dengan pelik.
“Apa kau ni, Adam? Aku baru nak berseronok sikit. Dah lama dah aku tak berjoli kau tahu?” Daniel memarahi aku.
“Ya, aku tahu. Dan aku juga tahu tiap kali kau nak ‘berjoli’ dengan mana-mana budak perempuan, dia terpaksa ke hospital selepas tu. Paling teruk, kali terakhir kau ‘berjoli’ dengan budak perempuan di sekolah, kau rampas nyawa dia. Jadi aku rasa selama kau nak aku tinggal dengan kau, baik kau jaga nafsu buas kau tu. Kalau tidak, aku sendiri akan telefon polis! Kau faham?!” aku meninggikan suara.
“Sial!” Daniel berbisik pada dirinya sendiri lalu terus melelapkan mata. Jelas dia merajuk denganku.
Aku bersyukur sebab berjaya menyelamatkan gadis itu tadi. Kalau dia menjadi mangsa Daniel, aku tidak akan maafkan diriku. Aku mengambil novel tadi untuk dibaca. Aku menyelak muka suratnya sampai ke muka terakhir. Padanya tertulis...
‘Adam sahabatku... bunuh Daniel sebelum dia sempat membunuhmu...’
***
Cahaya matahari terang tersuluh ke arah mukaku. Aku memaksa diriku untuk bangun. Aku begitu letih selepas perjalanan semalam sehingga terlupa untuk bangun awal untuk menunaikan sembahyang subuh tadi.
Aku terdengar bunyi berus bergeser pada lantai. Kelihatan beberapa botol sabun cuci di luar bilik air. Kenapa Daniel mencuci bilik air pagi-pagi sebegini? Aku kaget. Aku terus membuka pintu bilik air. Seluruh bilik air dibasahi darah. Kelihatan mayat telanjang gadis malam tadi dalam tab mandi yang dipenuhi air bercampur darahnya.
“Apa kau dah buat?!” aku menjerit sekuat hatiku.
“Senyap, bodoh! Jangan sampai orang terdengar...”
“Kenapa kau tak berubah, Daniel! Aku dah tak tahan dah dengan kau! Kenapa kau paksa aku buat macam ni?!”
Aku seolah-olah dirasuk. Kepalanya aku hentak pada dinding berkali-kali. Aku tidak melepaskannya. Segala tenaga yang ada padaku, aku lepaskan pada waktu itu. Biar binatang ini mati sebelum banyak lagi orang mati kerana dia.
“Matilah kau! Mati! Mati! Mati!” Aku sendiri tidak ingat berapa lama aku berbuat begitu. Apabila aku melihat mayat Daniel, aku sendiri tidak tahu kenapa aku mengambil langkah sebegitu. Bukankah selama ini aku banyak berkorban supaya dia selamat? Mengapakah?
Aku terduduk atas katil. Aku tidak tahu apa-apa yang harus aku buat sekarang. Daniel sudah tiada. Apa lagi aku buat di sini? Aku membuka televisyen. Aku tidak terkejut menonton berita tentang Daniel yang berjaya melarikan diri ke seberang laut dari hospital sakit jiwa di Malaysia. Masyarakat setempat, terutamanya gadis muda diminta berhati-hati kerana pesakit gila dari negara jiran ini sangat berbahaya. Beberapa orang pegawai polis diraja Malaysia juga dihantar ke pekan ini untuk membantu polis tempatan mencari kembarku yang kini sudah mati. Namun, aku langsung tidak disebut dalam berita itu.
Aku berjalan ke balai polis yang berdekatan bagi menyerah diri. Kebetulan, pegawai polis dari Malaysia sudah berada di situ dengan bantuan pemilik bot dari malam semalam. Tanganku digari.
“Tuan, Daniel dah mati. Saya sendiri yang bunuh dia. Ada satu lagi mayat budak perempuang dari hotel yang kami tinggal. Daniel yang bunuh dia...”
“Apa yang kau merepek, budak gila? Kau kan Daniel?” kata salah satu pegawai polis itu.
Aku sememangnya sudah biasa dipanggil Daniel kerana wajah kami serupa. “Tak. Tuan silap." Aku cuba membetulkannya. "Saya Adam, kembar Daniel. Daniel dah mati. Mayat dia ada di hotel...”
“Adam? Kembar kau? Adam yang tu? Bukan ke kau dah bunuh dia lepas kau bunuh budak Diya tu? Sebab tu kan kau tak masuk penjara? Kau masuk hospital orang gila sebab kau memang dah sewel!” jawab pegawai polis itu.
Aku langsung tidak faham apa-apa yang dia maksudkan.
“Tapi tuan, kalau tuan bawa saya ke hotel tu, saya boleh tunjukkan mayat dia!”
Aku dibawa balik ke bilik hotel itu.
***
“Tu, tuan! Saya bunuh dia...” aku menunjuk ke arah mayat Daniel. Tapi polis seolah-olah tidak boleh nampak mayat itu. Hanya mayat gadis telanjang itu sahaja yang mereka nampak. Pejabat forensik terus dipanggil ke mari untuk menjalankan autopsi.
Aku masih kebingungan. Siapakah aku? Adam, atau Daniel?
Aku diterbangkan ke Kuala Lumpur. Ramai wartawan yang mengambil gambar aku dan cuba menemubual pihak polis yang membawaku pulang ke tanah air tetapi mereka enggan berkata apa-apa.
Hari-hari seterusnya penuh persoalan buat aku. Adakah ini bermaksud aku yang membunuh Diya dan gadis-gadis yang lain itu? Tetapi mengapakah aku tidak melihat diriku sebagai Daniel, sekiranya itulah diriku yang sebenar? Kenapa aku melihat diriku sebagai Adam?
Laporan autopsi yang dibawakan kepada aku jelas menunjukkan aku yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan gadis di hotel itu tidak lama dahulu. Atas permintaan pak su aku, aku dibawa menziarahi kubur Adam yang sebenar, yang aku telah bunuh dengan tanganku sendiri.
Oh Tuhan... kenapa kau menguji hamba-Mu sebegini?
Perbicaraan di mahkamah dijalankan beberapa hari kemudian. Aku dibawa ke kandang saksi bagi menentang Doktor Raj yang dikatakan telah melanggar undang-undang perubatan.
“Pendirian saya sangat jelas, Yang Arif,” doktor memulakan bicaranya. “Adam manusia yang baik, Daniel pula manusia yang jahat. Daniel membunuh adik kesayangannya sediri bagi menutup kejahatannya sendiri. Lalu Daniel mencipta watak Adam dalam mindanya sebab gagal menerima hakikat yang dia telah membunuh satu-satunya manusia yang dia mampu sayangi atas muka bumi ini. Penyakit ini dipanggil multiple-personality disorder...”
“Bantahan!” peguam di pihak lawan menjerit. “Tertuduh tidak perlu menyentuh aspek keadaan kesihatan saksi. Pihak mahkamah sudah pun meminta bantuan profesional pakar sakit jiwa yang sedia ada. Sekian.”
Doktor Raj tidak menghiraukan peguan itu lalu meneruskan bicaranya. “Apabila saya mendapat tahu yang ada dua watak yang hidup dalam tubuh Daniel, saya sedar yang saya ada pilihan - sama ada pulihkan Daniel dengan menyedarkannya yang Adam sebenarnya hanyalah imaginasinya, ataupun menghancurkan watak Daniel iaitu dirinya yang sebenar, dan biarkan Adam terus hidup dalam tubuh Daniel.
“Kita harus sedar yang Daniel seorang psikopat. Memang mustahil untuk dia pulih daripada trauma ketika umur kecilnya. Ayah tirinya banyak menyeksanya dulu. Semua kenangan pahit itu telah mengakibatkannya menjadi seperti hari ini. Adam pula bernasib baik sebab dibesarkan di rumah pak su mereka.”
“Jadi, boleh kita andaikan yang Daniel yang kita geruni selama ini sudah mati sepenuhnya? Dan lelaki muda yang ada bersama kita hari ini ialah Adam yang disayangi semua orang?” tanya peguam bela.
“Ya. Begitulah keadaannya sekarang. Saya telah menggunakan suatu teknik psikologi yang tidak pernah digunapakai di mana-mana negara sebelum ini. Buat pertama kalinya, kita telah berjaya mengubati seorang psikopat. Ini bukan hasil usaha saya sendiri, tetapi juga Daniel sendiri. Setiap kali dia ingin mencederakan seseorang, akan ada suatu suara dalam hatinya yang menghalangnya. Suara itu suara Adam.
“Sekarang suara kebaikan telah menjatuhkan suara kejahatan. Daniel sudah tiada dan hanya ada Adam. Saya telah menghancurkan seorang raksasa yang hanya akan membawa malapetaka pada masyarakat. Sekiranya saya seorang polis, dan saya telah menembak matinya ketika dia cuba melarikan diri selepas melakukan jenayah, orang ramai akan memuji saya dan menganugerahkan saya dengan pingat. Apakah bezanya sekarang? Saya tidak membunuh sesiapa. Saya telah memulihkan seorang psikopat. Malah, saya telah mengubahnya menjadi seorang manusia yang sangat berbeza. Saya harap Yang Arif dapat pertimbangkan situasi saya..."
Keadaan sunyi buat seketika. Aku yang sangat kebingungan sejak pulang ke tanah air kagum dengan bicara doktorku. Ya. Kalau aku memang Daniel, itu bermaksud aku raksasa. Tapi sekarang aku Adam. Sejak aku melihat 'mayat' aku sendiri di bilik air tempoh hari, Daniel sudah mati buat diriku. Aku Adam. Hanya Adam.
Perbicaraan ditangguhkan dan akan diteruskan bulan hadapan. Sementara itu, aku terpaksa tinggal bawah jagaan pihak hospital sekali lagi untuk pastikan aku benar-benar sudah pulih. Aku sedar aku masih belum bersedia untuk kembali kepada masyarakat. Banyak lagi yang harus aku fikirkan. Azam aku cuma satu. Aku ingin berjumpa dengan Doktor Raj suatu ketika nanti. Apakah aku benar-benar sudah pulih? Apakah dosa-dosa yang aku buat dahulu bukan lagi beban aku? Apakah hanya sebab kini aku menganggap diriku Adam, aku sudah diberi peluang kedua oleh Yang Maha Esa bagi memulakan kehidupan baru?
Aku runsing...