Pages

Tuesday, January 18, 2011

Emel untuk Cikgu....

Banyak orang yang tidak memahami tabiat Cikgu Azmi yang satu ini, termasuk isterinya. Cikgu Azmi duduk di atas katilnya. Seperti malam-malam yang sebelumnya, dia mengeluarkan beberapa keping surat dari laci di sebelahnya. Surat-surat itu sudah renyuk kertasnya, tetapi masih disimpan dengan elok.

Memang sudah menjadi rutih harian cikgu ini untuk membaca emel-emel lama yang sudah dia print keluar itu setiap hari. Tiada sesiapa juga pernah mengambil tahu kandungan emel-emel lama itu.

***

Ke hadapan Cikgu Azmi yang tercinta,

Saya nak balik, cikgu. Lagi lama saya duduk sini, lagi gila saya, cikgu! Semuanya lain di sini. Saya keseorangan di sini. Apa yang patut saya buat? Tiada sesiapa yang nampak seperti mahu berkawan dengan saya.

Kota London....

Seperti sebuah dunia baru. Ibu tiada. Ayah tiada. Hanya saya sendiri yang kena jaga diri saya sendiri. Dengan berbekalkan wang biasiswa yang tidak seberapa, dan iman senipis kulit bawang... akan saya mulakan hidup baru di sini.

Semalam, semasa saya sedang berjalan ke dewan besar untuk memulakan sesi orientasi. Tiba-tiba, seorang budak lelaki kulit putih yang tinggi dan sasa menolak saya ke arah dinding.

Oh, tidak.... Perkara macam inilah yang saya takutkan selama ini. Saya tidak mahu ditindas di negara orang. Kepada siapa harus saya beritahu. Saya tiada keluarga di sini. Tiada kawan. Ya Tuhanku....

Selepas beberapa hari, saya mendapat tahu nama budak ini ialah Jason Caldwell, buli tersohor di King's College. Pernah sekali saya melihatnya di kawasan asrama. Dia membawa masuk seorang budak perempuan ke dalam biliknya. Saya kenal budak itu. Namanya Evangeline Rochester, salah satu pelajar paling bijak di kelas kuliah kami.

Dalam hati saya, saya memang tahu mereka seperti Jason dan Evangeline memang dilahirkan untuk berpacaran ketika di zaman kolej. Kedua-duanya dianugerahkan wajah yang sempurna. Kedua-duanya dilahirkan dalam keluarga yang berada - datuk Jason ialah salah seorang ahli korporat yang terkaya di England, Evangeline pula berketurunan bangsawati kerana neneknya bau bacang Ratu Elizabeth. Apalah saya kalau dibandingkan dengan mereka, cikgu? Kedua-dua ibu bapa saya hanyalah kerani di sekolah.

Mereka memiliki segala-galanya - pakaian berjenama, gajet elektronik terkini, kereta mewah tersendiri dan macam-macam lagi. Sakit hati saya setiap kali saya membandingkan diri saya dengan mereka. Namun apakah daya? Kita boleh memilih masa depan kita, tapi bolehkah kita memilih keluarga kita? Tidak, kan? Semua itu pemberian Tuhan.

Doakan saya cikgu, supaya hati saya sentiasa tenang supaya saya dapat pulang ke tanah air dengan segulung ijazah dan berbakti pada masyarakat kita. Dengan wang merekalah, saya dapat meneruskan pengajian di negara orang sebagai anak dangang. Cikgu tidak pernah lupa mendidik saya dalam bab itu. Saya tidak mahu menghampakan sesiapa.

***

"Can I ask you a favour?" itulah ayat pertama yang diajukan kepada saya. Oleh siapa? Girlfriend si Jason itu.

Mungkin teman lelakinya teruk akhlaknya. Tetapi itu tidak memberi saya hak untuk menolak permintaan gadis ini. Apa salahnya? Kerana dia ada hubungan dengan seorang buli? Saya pun bersetuju untuk membantunya. Rupa-rupanya dia sedang menemubual pelajar-pelajar minoriti bagi mendapat tahu pendapat mereka tentang layanan yang diterima di kolej ini.

Malam itu cikgu, saya tidak dapat tidur. Hati saya gembira... dan saya sendiri tidak tahu sebabnya....

***

Akhirnya, orang mula mengenali saya. Bukan Evangeline sahaja yang terbaik di kuliah kami. Semuanya berkat restu dan doa cikgu dan yang lain-lain di kampung. Syukurlah segala titik peluh saya berbaloi. Tugasan saya mendapat markah kedua tertinggi selepas Evangeline.

Kebanyakkan pelajar kolej kini menegur saya, atau sekurang-kurangnya memberi senyuman apabila bertembung dengan saya. Namun senyuman satu hamba Tuhan ini sahaja yang cukup bagi mengembirakan hati saya di waktu kesunyian musim salju yang hambar ini.

"Congratulations on your assignment, Reddy."

"Oh! Evangeline! Why... same to you!"

"Well, let me get straight to the point. You're good at what you do. I'm good at what I do. So, I was wondering for our next task, we should pair up. I mean, Reddy, if I may speak freely... you don't exactly have many friends at school. But you and me, we can make a team!"

"Why that's very kind of you. I... I would really like that..."

"Excellent! I'll meet you here at the library at six tomorrow. We'll get straight to business right away. See you. Bye!"

Dia terus berjalan pergi. Saya pun tidak faham, cikgu. Patutnya hati saya penuh kegirangan sekarang. Tetapi kata-katanya tadi... membuatkan saya rasa kurang selesa.

***

Maafkan saya cikgu, sebab sudah lama tidak menulis. Keadaan agak sibuk sejak baru-baru ini. Saya dan beberapa orang rakan sekuliah saya, termasuk Evangeline telah dipilih untuk suatu program apprenticeship bawah salah satu firma peguam yang terkemuka di Kota London. Banyak pengalaman baru yang telah saya pelajari.

Rupa-rupanya, di sebuah negara demokrasi yang liberal seperti United Kingdom pun ada banyak kes pelanggaran hak asasi manusia. Sebuah sekolah swasta di sini melarang para pelajarnya daripada memakai salib, abu suci, hijap, serban atau apa-apa bentuk simbol keagamaan.

Kami telah membawa kes ini ke mahkamah bagi berjuang di pihak ibu bapa para pelajar di sana. Atas hasil usaha kami, kejayaan memihak pada kami. Kes ini mendapat liputan luas di seluruh Eropah. Saya tidak pasti kalau beritanya tersiar di akhbar Malaysia, tetapi saya rasa elok kalau cikgu tahu tentang ini.

Mungkin cikgu tertanya-tanya sebab saya kurang senang hati selepas Evangeline mengajak saya membuat tugasan kuliah bersama. Saya tidak suka yang dia telah melabel saya sebagai seseorang yang kurang disenangi semua. Mungkin bagi saya, ini menunjukkan keangkuhannya sendiri.

Namun, dia meminta maaf setelah saya memberitahunya tentang perasaan saya. Dia terkejut yang saya sebenarnya mampu bersuara dan bukannya pendiam semata-mata seperti yang dia sangkakan pada mulanya.

***

Cikgu....

Banyak yang sudah berlaku dalam masa beberapa bulan ini. Saya menyewa sebuah rumah di luar bersama beberapa orang pelajar dar Singapura dan Brunei. Maklumlah kita serumpun. Adat kami lebih kurang serupa dan kami boleh tinggal bersama.

Evangeline tidak lagi bersama Jason. Mereka berpisah agak lama dahulu kerana Jason mudah cemburu. Tidak lama selepas itu, dia diberkas polis atas sebab masalah perkauman. Dia dipercayai menjadi dalang utama. Pihak pentadbiran kolej pun membuangnya kerana dia dilihat membawa nama busuk. Kekayaan keluarganya tidak dapat membantunya sekarang.

Cikgu, salahkah kalau kita bercinta dengan orang yang berbeza adat dan ibadat daripada kita? Cikgu selalu mengajar saya yang semua manusia sama sahaja di mata Tuhan. Dia tidak memandang pangkat, darjat atau warna kulit kita. Dia hanya melihat kebaikan dan keburukan kita. Evangeline dan saya serasi bersama... dan sekiranya Tuhan mengizinkan, saya mahu hubungan kami kekal buat masa sekarang.

Akhrinya, saya ada teman.

***

Cikgu! Cikgu pernah nampak rumah-rumah Inggeris besar dengan ukiran dan perabot yang cantik dan mahal... macam dalam drama-drama BBC itu? Saya pernah melawat rumah macam itu, cikgu!

Pada awalnya, saya teragak-agak untuk menerima pelawaan Evangeline untuk menghadiri ulang tahun perkahwinan ibu bapanya di kediaman keluarga mereka. Namun, Evangeline selalu memaksa saya sehinggalah saya terpaksa mengikutnya.

Saya agak terkejut pada awalnya. Semua ahli keluarga Rochester baik-baik belaka. Memang berbeza dengan orang kita. Orang kita, asalkan ada duit dan darjat sedikit, bukan main berlagak! Memang salah tanggapan tok wan dan opah saya tentang orang Inggeris. Meraka ini sebenarnya sangat baik dan sangat peramah.

Salah seorang abang Evangeline mengajak saya bermain kriket dengan beberapa orang sepupu lelakinya. Saya tidak beberapa pandai bersukan, tetapi saya mengikut mereka sebagai tanda hormat. Seperti yang saya jangkakan, cara main saya memang menjadi bahan ketawa semua. Tetapi mereka sangat mesra dan sanggup mengajar saya dari awal sampai akhir tentang kriket.

Dalam perjalanan pulang ke hostel saya, Evangeline menyoal saya sekiranya saya akan terus tinggal di England setelah tamat pengajian. Saya memang sudah mengagak masa ini akan tiba. Lalu saya berterus terang yang saya perlu pulang ke tanah air dan berkhimat untuk masyarakat saya. Memang tampak kesedihan pada wajahnya pada saat itu. Dia berkata yang dia pernah ada ramai teman lelaki, tetapi hubungannya dengan saya lain.

Istimewa katanya. Wow...

Memang saya juga bukannya bercinta untuk berseronok. Kami tidak pernah terlanjur kerana Evangeline memahami adat hidup saya. Tetapi saya sendiri tidak pernah fikir tentant masa depan kami. Apakah akan terjadi setelah saya pulang ke Malaysia besok? Adakah segala-galanya akan berakhir macam itu sahaja? Adakah kami akan berhenti mencintai satu sama lain?

***

Cikgu... semalam merupakan malam paling indah dalam hidup saya. Sungguh tidak dijangka... tidak disangka... tetapi itulah takdir... kuasa Tuhan.

Evangeline menelefon saya malam itu. Dia menangis. Dia meminta saya berjumpa dengannya di kafe yang tidak jauh dari rumah saya. Di sana, dia memberitahu saya yang keluarganya sudah mula menyoalnya tentang hubungan kami.

Memandangkan sudah beberapa tahun kami bersama, mereka mengandaikan kami akan mengambil keputusan untuk berkahwin. Sekiranya Evangeline mengahwini saya, ini bermakna dia terpaksa melepaskan peluangnya untuk menaiki takhta England sekiranya sesuatu terjadi kepada keluarga diraja yang sememangnya ada hubungan persaudaraan dengannya.

Hal ini sebab mengikut undang-undang Gereja England, seorang pewaris takhta tidak boleh berkahwin di luar mazhabnya, apatah lagi agamanya. Sekiranya terputus hubungan Evangeline dengan takhta, maka rosaklah nama baik keluarganya dalam kalangan masyarakat bangsawan negara ini.

Saya tahu hari ini akan tiba. Cuma bukan sekarang. Di sinilah berakhirnya kisah cinta Reddy dan Evangeline....

Tetapi saya tersilap.

"Will you marry me? Like now? Tonight? This very instant?"

Saya tersentak.

***

Cikgu! Maafkan saya kalau saya membiarkan cikgu tertanya-tanya semalam. Saya sendiri masih dalam keadaan terkejut pada masa itu. Mungkin saya masih belum menerima hakikat saya kini bergelar suami seseorang.

Malam itu juga kami ke gereja berdekatan. Beberapa orang kawan kami sudahpun menunggu kami di sana. Paderi di sana sebenarnya pak cik kepada salah seorang kawan saya. Setelah bertukar janji dan cincin, kami diisytiharkan suami isteri yang sah.

Selepas itu, kami terus dibawa ke sebuah kuil Hindu pula yang tidak jauh dari gereja tadi. Ketika paderi membacakan doa, kami mengelilingi api suci selama tujuh kali sambil membuat janji untuk bersama sehingga ke akhir hayat. Setelah saya mengikat rantai perkahwinan pada leher Evangeline, kami diisytiharkan suami isteri yang sah..... sekali lagi!

Selepas dua majlis perkahwinan itu, kami pulang ke rumah Evangeline. Ketika dalam perjalanan, barulah saya sedar yang saya telah mengambil suatu langkah besar dalam hidup kami. Macam mana dengan keluarganya? Macam mana dengan keluarga saya di kampung... yang masih berfikir yang anak mereka ke luar negara untuk membawa pulang segulung ijazah semata-mata? Bagaimanakah kami harus berdepan dengan mereka? Lalu Evangeline memangang tangan saya erat.

"We'll face this... together....".

***

Cikgu! Semalam mungkin hari paling bahagian dalam tahun ini selain malam perkahwinan saya. Pak su saya Shree dari kampung datang melawat saya. Sebenarnya, dia berada di Kota London untuk satu kursus pendek oleh syarikatnya.

Mungkin cikgu tidak ingat pada Shree, tetapi dia pun anak murid cikgu dahulu. Tetapi dia tamat Tingkatan Lima beberapa bulan selepas cikgu datang bertugas di sekolah kita. Cikgu pernah mengajarnya Pendidikan Moral untuk beberapa minggu selepas Cikgu Ainon bersara.

Shree hanya tua beberapa tahun sahaja berbanding saya. Dialah anak bongsu tok wan saya. Kami membesar macam adik-beradik sebab jarak umur kami tidaklah besar. Sejak kematian isterinya tidak lama dahulu, Shree langsung tidak menunjukkan minat dalam beristeri lagi. Dia juga tidak beranak-pinak. Sebab itu, dia masih hidup macam pemuda bujang.

Shree agak terkejut, dan sedikit marah apabila saya mengaku yang saya sudah berkahwin tanpa restu keluarga kami. Saya membawanya untuk berjumpa dengan Evangeline. Mereka menyenangi satu sama lain. Shree berjanji untuk merahsiakan hal ini daripada keluarga kami. Tetapi berapa lama lagi? Satu hari nanti, saya terpaksa menghadapi mereka.

***

Saya rasa saya perlu meminta maaf pada cikgu kerana melayan cikgu begini.

Cikgu sudah tentu faham sebab saya merajuk dan tidak menghantar emel untuk lebih setahun sekarang. Saya faham cikgu terpaksa memberitahu mak dan ayah saya. Saya tidak meminta cikgu berkomplot dengan saya untuk berderhaka pada mereka. Mereka sudah lama menjadi kawan karib cikgu. Sudah tentu cikgu perlu memberitahu mereka tentan perkahwinan saya.

Saya pasti cikgu sudah sedia maklum dengan keadaan saya. Ibu bapa saya enggan bercakap dengan saya lagi. Hanya Shree dan beberapa orang sepupu saya yang sering menelefon saya.

Maafkan saya kerana mengendahkan cikgu selama ini. Segalam emel yang cikgu hantar, saya buat tidak tahu sahaja. Bulan-bulan sebelum ini memang agak sukar. Beban tugasan yang diberi oleh pensyarah semakin banyak dalam saat-saat terakhir pengajian saya di sini.

Seluruh benua Eropah sudah saya kelilingi, cikgu. Evangeline menemani saya ke Paris, Rome, Venice, Milan, Prague, Amsterdam, Barcelona, Lisbon, Alps, Dublin dan banyak lagi. Memang indah saat-saat itu.

Tetapi, selepas hari terakhir peperiksaan di kampus, Evangeline terus ghaib daripada hidup saya. Saya bertanya pada banyak orang, tetapi tiada seorang pun yang tahu tentangnya. Akhirnya, kerana terlalu risau, saya memberanikan diri untuk ke rumah keluarganya. Pengawal tidak membenarkan saya masuk. Sebaliknya, ibu Evangeline yang keluar.

"She doesn't want to have anything to do with you. You were purely a mistake. She said it herself. She is in Edinburgh with her fiancée. You can forget about her. Go home."

Begitulah kata-kata wanita separuh umur dalam keadaan mata berair. Kata-katanya itu menusuk hati saya bagaikan sembilu. Tunang? Tetapi saya suaminya! Kalau ikutkan hati saya, saya ingin menjerit padanya yang sayalah suami anaknya. Tetapi untuk apa? Kalau Evangeline sendiri tidak memberitahu ibunya tentang perkahwinan kami, apa hak saya untuk memberitahunya pula? Mungkin Evangeline memang tidak mahukan saya dalam hidupnya lagi. Sebab itu dia kelihatan muram sahaja ketika hari-hari terakhir kami bersama.

Evangeline terus pergi daripada hidup saya, cikgu. Ghaib...

Malah, dia tidak datang untuk majlis konvokesyen kami juga. Kami berdua dinobatkan pelajar terbaik dalam kelas kuliah kami. Semua kawan kami langsung tidak tahu apa-apa tentangnya. Ada yang sampai ke rumahnya dan mengertak ahli keluarga Rochester supaya jangan menyembunyikan Evangeline daripada kami kawan-kawan karibnya, apatah lagi saya - suaminya yang sah!

Suami? Yang sah? Memang ada dua majlis perkahwinan, tetapi kedua-duanya tidak disaksikan seorang pegawai kerajaan untuk didaftarkan secara sah. Apa bukti kami suami isteri? Cincin pada jari kami, atau rantai pada leher dia? Semua itu tidak cukup... langsung tidak cukup.

Hari-hari terakhir saya di Kota London dihabiskan bersama rakan-rakan kuliah saya. Teman-teman serumah saya sudah lama pulang ke tanah air. Saya bersyukur juga kerana mendapat sahabat seperti mereka. Mereka sedar yang saya keseorangan lalu menemani saya hinggalah ke lapangan terbang. Setelah begitu lama, akhirnya saya akan pulang ke tanah air sebagai seorang peguam bertauliah. Syukurlah....

***

Cikgu ingat lagi firma guaman di Kota London yang saya ceritakan beberapa tahun dahulu? Firma itu sebenarnya sudah lama bekerjasama dengan Firma Ayer & Co. di ibu kota. Firma di London telah mengesyorkan saya pada beberapa orang atasan di Firma Ayer sampailah mereka sudi mengambil saya bekerja!

Banyak kawan saya yang terkejut yang saya mendapat tempat di firma ini. Firma ini sememangnya memiliki reputasi yang sangat baik. Saya sendiri tidak percaya yang saya mendapat kerja di sebuah firma sehebat ini dalam masa yang begitu singkat setelah tamat pengajian! Hanya dalam masa beberapa hari! Sememangnya Tuhan sangat menyayangi saya, cikgu!

Buat sementara waktu, saya cuba melupakan segala masalah dan menumpukan perhatian sepenuhnya pada kerja saya. Saya belum sempat melawat keluarga saya di Kuantan. Rasanya, mereka pun tidak tahu yang saya sudah pulang. Shree pun tidak saya beritahu. Nombor telefon saya juga sudah ditukar. Susah untuk mereka memanggil saya. Mungkin saya sedang merajuk Buat sementara waktu, saya mahu bersendirian...

Amatlah besar harapan saya kalau cikgu tidak menjadi mulut tempayan dan memberitahu sesiapa pasal saya.

Sekian, terima kasih.

***

Cikgu Azmi terus menyimpan emel itu kembali lalu mengesat air matanya yang belum sempat jatuh ke pipi. Sememangnya Reddy merajuk. Tetapi sepatutnya Cikgu Azmi memberitahu keluarga Reddy tentang kepulangannya. Tetapi kali terakhir dia masuk campur dalam hal Reddy, keluarga anak muridnya itu berpecah-belah. Ibu bapa Reddy sudah tidak mahu mengaku dia anak mereka. Kiraannya, patutnya dia merahsiakan hal ini supaya sejarah tidak berulang. Namun, Cikgu Azmi silap.

Dia mengesat air matanya lagi sebelum membaca emel seterusnya.

***

Cikgu...

Saya ingatkan cikgu sudah lupakan saya. Meskipun saya begitu biadap terhadap cikgu, cikgu masih bersabar dengan saya dan sudi menghantar emel kepada saya setiap minggu. Terima kasih cikgu.

Janganlah cikgu meminta maaf. Mungkin masa itu saya terlalu emosional. Saya masih belum menghubungi keluarga saya. Rasanya mereka masih tidak tahu apa-apa tentang saya. Beberapa bulan yang lepas, saya ternampak pada bahagian kematian di surat khabar yang tok wan saya sudah meninggal. Hati saya berat untuk tidak pulang ke kampung untuk bersama keluarga, tetapi mungkin godaan syaitan pada masa itu terlalu kuat. Ingat tak cikgu? Dulu cikgu yang mengajar kami - godaan syaitan itulah ego. Ego saya telah menewaskan kewarasan saya sendiri.
Juga pada hari sama, ada berita kecil yang mengatakan Shree sedang mencari saya. Dia siap menyiarkan nombor telefon dan alamat emelnya. Balik-balik Shree lagi. Macam mana dengan mak? Ayah? Mereka tidak rindu pada saya? Hati saya geram bercampur sedih masa itu.

Tidak lama kemudian, beberapa orang peguam di firma kami bersama pegua-peguam lain dipilih untuk mewakili kerajaan Malaysia dalam kes perebutan Pulau Batu Putih di Mahkamah Antarabangsa di The Hague bagi menentang kerajaan Singapura.

The Hague...

Asalnya, saya dan Evangeline merancang untuk melawat bandar itu selepas majlis konvokesyen kami.

Saya dah beberapa orang lagi yang sebaya saya hanyalah menjadi pembantu peguam-peguam yang lebih berpengalaman. Namun, banyak yang dapat kami pelajari melalui pengalaman sebegini.

Apabila sidang mahkamah bermula, saya benar-benar kagum dengan hujah-hujah peguam-peguam yang ada. Begitu hebat mereka berdebat dengan fakta-fakta mereka. Begitu hebat mereka membidas hujah-hujah pihak lawan dalam masa yang singkat. Mampukah saya menjadi seperti mereka suatu hari nanti? Hanya Tuhan yang tahu.

Mungkin cikgu akan terkejut, tapi apabila saya berjalan keluar selepas sidang yang pertama.... dia berdiri di hadapan saya....

Evangeline...

Dia berjalan ke arah saya. Tanpa mempedulikan orang di sekeliling kami, saya memeluknya... erat. Kekosongan dalam jiwa saya kini terubat. Evangeline... dia pulang.

***

Cikgu. Semalam saya terjumpa Evangeline. Hari itu hari paling gembira dalam riwayat hidup saya.

Rupa-rupanya dia pembantu untuk salah seorang peguam yang melawan bagi pihak kerajaan Singapura. Sama seperti saya, dia juga dihantar ke sini untuk mendapat pengalaman.

Tidak banyak yang berubah. Evangeline masih jelita seperti dulu. Kulitnya yang putih gebu, matanya yang biru muda, rambutnya yang keperangan, susuk badannya yang menawan... mampu mengoncangkan iman mana-mana lelaki.

Ibunya menipu saya dulu. Sememangnya dia dipaksa untuk meninggalkan saya oleh mendiang ayahnya yang nazak ketika itu. Ketika itu, Evangeline mengandungkan anak saya. Keluarganya menyembunyikannya di salah satu kediaman mereka di kawasan desa di Perancis sementara menunggunya bersalin supaya tiada sesiapa tahu tentang hubungan kami.

Awal-awal lagi ibunya sudah merancang untuk memberikan anak kami kepada sebuah keluarga angkat. Evangeline merasakan lebih elok kalau keluarga saya yang menjaga anak kami. Oleh itu, dia sendiri menguruskan untuk berjumpa dengan Shree supaya anak kami dapat diberikan kepadanya. Shree berjanji untuk menjaga anak kami seperti anak kandungnya sendiri. Keluarga saya pun tidak akan diberitahu yang anak itu sebenarnya anak saya dan Evangeline. Sebelum berpisah dengan anak kami, Evangeline meminta Shree supaya menamakannya dengan nama saya - Reddy. Reddy Rochester.

Semua ini akibat keangkuhan saya sendiri. Kalaulah saya pulang ke kampung dulu, sudah tentu saya akan bertemu kembali dengan keluarga saya dan juga anak saya sendiri. Evangeline rasa bersalah kerana dia fikir dialah sebab saya semakin jauh daripada keluarga saya. Sememangnya itu tidak benar. Semua ini sebab keangkuhan saya sendiri.

Setelah tamat perbicaraan kes ini, mahkamah mengisytiharkan yang Pulau Batu Putih milik negara Singapura. Saya sedar, inilah kali pertama kes yang saya wakili menerima kekalahan. Namun, hati saya sedikit pun tidak sedih... kerana saya sudah menemui cinta saya... Evangeline.

Hari-hari terakhir kami di The Hague dihabiskan dengan melawat tempat-tempat menarik di bandar ini, sama seperti yang kami rancangkan beberapa tahun yang lalu. Saya berterus-terang dengan Evangeline yang tiada wanita lain dalam hidup saya selain dia. Evangeline pun mengaku yang keluarganya telah memperkenalkannya dengan ramai pemuda daripada keluarga berada tetapi seorang pun tidak mendapat tempat di hatinya... kerana hatinya milik saya, cikgu.

***

Cikgu! Doakan saya dan Evangeline pulang ke tanah air dengan selamat. Flight kami dalam masa dua hari lagi. Saya juga mendoakan cikgu selamat menjalankan Umrah. Doakan saya, cikgu.

***

Cikgu... saya menulis ini dengan hati yang sedih. Cikgu mungkin tidak tahu sebab cikgu mungkin masih di Mekah.

Baru semalam saya pulang ke kampung, cikgu. Saya membawa Evangeline dengan saya.

Kami memasuki rumah saya... rumah tempat saya membesar dari kecil. Semua kenangan indah bermain dalam otak saya...

Saya terpandang dinding... ada dua gambar orang tua saya. Dua gambar itu dihiasi kalung bunga.

Mak dan ayah sudah tiada, cikgu.

Saya tak sempat minta maaf....

***

Kami pulang ke rumah saya di Kuala Lumpur. Mak dan ayah meninggal beberapa minggu yang lepas dalam kemalangan jalan raya sebelum saya berangkat ke The Hague. Saya tidak mampu berkata-kata. Menurut saudara-mara yang lain, mak dan ayah meninggal dalam keadaan sedih sekali sebab tidak sempat berjumpa dengan saya.

Aduhai... mak... ayah... saya anak derhaka. Besok kalau disoal di alam mati, apakah jawapan saya?

Hanya cikgu yang dapat membantu saya pada saat-saat sukar begini. Evangeline sangat risau dengan keadaan saya. Saya tidak tinggal lama di kampung sebab tidak mampu berdepan dengan saudara-mara lain.

Shree juga singgah di sini beberapa hari yang lepas. Evangeline yang menjemputnya datang. Buat pertama kalinya... saya melihat wajah anak saya. Reddy..... anakku. Hati saya mahu menjerit kegirangan... tetapi kesakitan yang dirasainya tiada penawar. Hati yang dahulunya keras kini lembik tidak bernyawa....

***
Sudah agak lama saya tidak ke tempat kerja. Rasa bersalah ini masih menghantui saya. Saya rasa cikgu masih pulang dari Mekah. Saya masih menunggu cikgu di sini.

Sudah dua hari saya keseorangan di sini. Evangeline terpaksa ke Mumbai kerana ada urusan di pejabat pesuruhjaya tinggi British di sana. Pada awalnya, dia berat hati untuk pergi dalam keadaan saya begini. Saya yang memintanya pergi supaya dia dapat keluar dari rumah kami ini untuk beberapa hari. Sudah lama kami terperah bersama di sini, cikgu.

Cikgu... bila cikgu nak balik? Saya perlukan cikgu. Hati saya kosong.... kosong teramat sangat...

***

Baru hari ini saya menadah tangan untuk berdoa setelah sekian lama berkabung seorang diri.

Pagi itu juga saya menonton televisyen untuk menenangkan hati fikiran. Namun Tuhan tidak memberikan saya kesempatan untuk merasai itu lagi.

Berita yang tersiar mengatakan yang Hotel Taj Mahal di Mumbai dimasuki pengganas Pakistan.
Semua tetamu yang menginap di sana dijadikan tebusan!

Evangeline???!

Saya mula risau apabila dia tidak menjawab panggilan saya. Saya terus menelefon Wisma Putera. Mereka masih tiada sebarang berita. Saya cemas... rimas... Wisma Putera tidak dapat membantu Evangeline. Dia warganegara United Kingdom.

Saya terus menelefon Alex, kawan saya dari kolej yang masih tinggal di London dan memberitahunya masalah saya. Dia berjanji untuk menghubungi Pejabat Luar Negeri British bagi mendapat tahu tentant perkembangan terbaru.

***

Cikgu.............

Inilah saat seorang manusia hilang arah hidup, tujuan hidup....

Mak tiada... ayah tiada... kini Evangeline pun dah tinggalkan saya...

Satu saja permintaan saya. cikgu. Beritahu Shree saya tidak mahu mayat saya dibakar. Saya mahu disemadikan dengan isteri saya di perkuburan di belakang rumah saya di kampung.

Segala harta yang telah saya kumpul selama ini adalah untuk anak saya, Reddy.

Maafkan saya, cikgu. Doakan saya, cikgu, supaya Tuhan akan ampunkan segala dosa saya.

Saya kena pergi sekarang.

Evangeline menunggu saya............


Monday, January 17, 2011

Hati dan Hidup Kering Kontang...


Kaki Kumar terkaku di hadapan pintu rumahnya. Bukannya dia tidak pernah terfikir semua ini akan terjadi, cuma bukan sekarang.

"Kumar! Mak cik ni kawan mak dari kolej dulu. Dia nak perkenalkan anak dia kat kau. Cakaplah 'hai'," kata mak dengan muka tersenyum. Jarang sekali Kumar melihat muka garang ibunya tersenyum begitu.

"Mak dah lupa kita orang beradat ke? Kalau nak kahwinkan saya, bukankah kita yang kena masuk meminang orang. Bukan orang yang masuk meminang kita," Kumar berkata lalu terus naik ke biliknya. Sepedas-pedas kata-kata Kumar, lagi 'pedas' akibatnya apabila perlu berdepan dengan mak dan ayah selepas ini.

Kumar terus menelefon Dharma.

"Bila nak jumpa ni? Sampai bila awak nak kunci diri dalam rumah tu? Semua orang rindukan awak, awak tahu?"

Selepas beberapa saat, barulah Dharma menjawab, "Berapa kali saya nak beritahu awak? Saya nak habiskan masa dengan abang dengan keluarganya buat masa ni. Nanti kalau terbuka hati saya nak berjumpa kamu semua, saya akan datang sendiri esok."

"Alasan!" Kumar menjerit. "Awak fikir saya tak tahu? Saya baru balik dari rumah awaklah! Saya ada cakap dengan abang awak sekali! Kasihan dia. Menangis dia bila dia cakap pasal awak. Tak nak makan, tak nak cakap dengan siapa-siapa. Awak ingat apa, hah?!"

Terus telefon bimbitnya dirampas dari tangannya.

"Mak!!!!!!!!!!!!!!!!!!!"

"Apa kau fikir? Sampai bila-bila kau tak nak kahwin? Dah tu, adakah patut malukan mak dengan ayah depan kawan-kawan mak tu?! Tengok! Mereka dah pergi dah!" mak menengking.

"Mak! Tolong, demi Tuhan, mak! Esok majlis konvokesyen saya, mak. Tolong jangan rosakkan mood saya. Saya merayu...." Kumar berkata sambil mukanya tertutup menghadap bantal.

"Mood konon. Kau jangan fikir mak tak tahu. Kau memang tak ada niat nak kahwin, kan? Semua sebab girlfriend kau tu...."

"Girlfriend? Mak kan tahu saya tak minat semua tu! Apa mak merepek ni?" Kumar mencelah. Tiba-tiba, dia faham segala-galanya. Dia terus terbangun. "Mak baca diari saya lagi?"

"Itu tak penting sekarang. Mak sekarang nak kau...."

"Apa yang tak penting? Itu private mak! Aduhai, bila mak nak insaf?" kata Kumar, penuh kekesalan. "Apa... apa lagi yang mak.... tahu?"

Belum sempat mak Kumar menjawab, ayahnya memasuki bilik itu. "Dah! Dah! Cukuplah kamu berdua ni! Esok kita pergi rumah mak cik tu. Kita semua minta maaf kat mereka, terutamanya kau, Kumar. Mentang-mentang dah besar, main lepas saja, ya?"

Kumar tidak mampu lagi bercakap. Dia terus terlantar atas katilnya. Ayahnya pula menarik maknya keluar dari bilik itu bagi mengelakkan pertelingkahan itu berlanjutan.

***

Esok paginya, Kumar bersiap-sedia untuk ke USM bagi menghadiri majlis konvokesyennya. Sama seperti keluarga India yang lain, seluruh ahli keluarga Kumar akan mengikutnya ke Pulau Pinang untuk melihatnya menerima segulung ijazah dari chancellor. Tiga buah kereta meninggalkan Taiping pada pagi itu, menuju ke Pulau Pinang.

Ketika di lebuh raya, Kumar yang sedang duduk di sebelah ayahnya yang membawa kereta cuba berpaling untuk melihat air muka maknya. Sememangnya maknya masih merajuk dengannya atas kejadian semalam. Dua orang adiknya pula terketawa melihat gelagat abang mereka itu.

Majlis hanya bermula beberapa jam selepas Kumar dan kawan-kawannya sampai di dewan besar. Meskipun ramai yang datang menegurnya, mata Kumar liar mencari Dharma, sahabat karibnya sejak hari pertama mereka memulakan kuliah di USM ini. Apabila dia bertanya pada beberapa orang rakannya yang lain, mereka juga tidak melihat kelibat Dharma di sana. Hati Kumar sayu.

Ketika nama Kumar disebut, adik-beradik dan sepupu-sepupunya terus bersiul dan bersorak dalam kegembiraan. Begitu juga dengan rakan-rakannya. Sememangnya bukan mudah untuk mendapat ijazah kelas pertama dalam bidang kejuruteraan.

Akhirnya, nama Dharma pun disebut. Aina, salah seorang kawan baik Dharma selain Kumar terpaksa menerima ijazah tersebut bagi tempat Dharma. Dalam hatinya, Kumar faham sepenuhnya sebab Dharma berkelakuan begini.

Sememangnya kebanyakan kawan dan pensyarah mereka yang tidak tahu hal sebenar. Hanya Kumar dan abang serta kakak ipar Dharma sahaja tahu rahsia ini.... dan mungkin mak Kumar juga kerana dia telah membaca diari Kumar.

***

Setelah tamat majlis tersebut, Kumar terus dikelilingi ahli keluarganya dan juga para pensyarahnya yang ingin mengucapkan tahniah padanya. Kumar sendiri tidak ingat berapa kali pipinya dicium oleh nenek dan ibu-ibu saudaranya. Setelah semuanya sudah puas menunjukkan rasa bangga mereka, mak Kumar datang.

"Mak rasa elok kau habiskan petang ni dengan kawan-kawan kau. Mungkin lepas ni kau takkan jumpa mereka lagi. Kita tinggal di Hotel Rasa Sayang macam dulu. Kalau boleh, baliklah sebelum tengah malam. Jangan sampai semua orang risau. Mak pergi dulu." Terus mak Kumar berjalan pergi.

"Mak!" Kumar menyahut. Belum sempat maknya berpaling, Kumar terus memelukanya erat. "Terima kasih, mak. Kalau bukan mak yang jaga dari saya dari kecil sampai sekarang, tak mungkin saya berjaya macam ni. Terima kasih mak, sebab sanggup terima anak yatim piatu macam saya dalam hidup mak. Maafkan saya sebab banyak sakitkan hati mak selama ni."

Kedua-dua anak-beranak itu tidak mampu lagi menahan sebak dalam hati masing-masing. Keluarga mereka hanya mampu tersenyum melihat gelagat mereka dari jauh.

"Mak sayang kamu. Kamu tetap anak mak..." kata mak Kumar sebelum pergi.

***


Kumar langsung tiada niat untuk menghabiskan masanya dengan kawan-kawan sekuliahnya. Meskipun sudah diajak berkali-kali, Kumar hanya terduduk di kaki lima dewan besar USM, seolah-olah menunggu seseorang.

"Kumar...." kedengaran suatu suara lembut yang memanggil namanya.

"Dharma...." terus hati sayu Kumar mekar dengan kegembiraan tiada tolok bandingnya.

Kedua-dua sahabat karib itu pun bersembang hinggalah larut malam. Kumar memang merindui Dharma... dan ini mungkin kali terakhir dia berpeluang berjumpa dengannya.

"Kumar... kenapa awak buat macam ni?" tibat-tiba Dharma menyoal.

"Maksud awak?"

"Kenapa selama ni awak sorokkan semua ni daripada saya? Awak orang lelaki. Awak yang kena luahkan perasaan awak dulu kepada saya. Mana boleh saya buat macam tu?"

"Dharma, apa awak....?"

"Tak payah sorok apa-apa lagi, Kumar. Mak awak dah ceritakan semuanya pada saya. Kalau bukan kerana dia curi-curi baca diari awak, saya takkan datang sini, awak tahu? Selama ni saya pendam perasaan sebenar saya... sebab saya fikir awak hanya anggap saya sebagai kawan baik awak. Setiap hari... saya pendam... saya fikir hidup saya hanya untuk abang saya, kakak ipar saya, anak-anak buah saya... orang lain tak pernah sayankan saya...." air mata Dharma menitis ke bawah pipinya.

"Dharma, awak...."

"Diam, Kumar. Kenapa awak sengaja nak rosakkan hidup awak semata-mata sebab awak tak dapat saya? Siapa beri hak pada awak untuk jadi biarawan? Awak tak nak kahwin sampai bila-bila! Nak mati di biara! Kenapa? Awak sangat berbakat, Kumar! Akal awak tu anugerah Tuhan... tapi awak nak habiskan hidup awak di biara... semata-mata sebab awak tak dapat habiskan hidup awak dengan saya... sedangkan awak sendiri tak pernah beritahu saya yang awak cintakan saya?"

"Cukup, Dharma. Cukup..."

"Tak! Awak diam, ok? Yang ada kanser saya, bukan awak! Yang akan mati saya, bukan awak! Yang hidupnya selama lebih 20 tahun ni sia-sia saya, bukan awak! Apa hak awak untuk jadi biarawan? Cuba cakap?"

Keadaan sunyi buat seketika. Hanya bunyi kenderaan dari beberapa batu jauh sahaya kedengaran.

Kumar mengesat air matanya. "Saya tak layak jadi boyfriend awak. Jadi kawan awak pun, ramai yang terkejut. Saya hodoh, awak cantik. Saya anak yatim, awak cucu Datuk. Saya memang.... bukan untuk awaklah..."

"Baiklah. Jadi... apa yang saya buat kat sini?" kata Dharma. Dia pun berdiri dan berjalan pergi.

Otak Kumar celaru. Cintanya selama ini bukanlah bertepuk sebelah tangan macam yang dia sangkakan. Dahulunya hati dan hidup Kumar kering kontang... tidak berbunga, tiada kehijauan, tiada bayu. Semenjak berkenalan dengan Dharma, semuanya berubah. Semuanya... Dia tidak pasti dia patut biarkan cintanya berjalan pergi dengan begitu mudah sahaja. Dharma telah membawa kegembiraan dalam hidup Kumar. Sekarang hidup Dharma pula kehilangan segala bentuk kegembiraan. Sekarang giliran Kumar untuk membawak kegemiraan ke dalam hidup Dharma... ketika nyawanya masih dikandung badan.

"Ni giliran aku...." bisiknya seorang diri.

Dharma semakin jauh.

"Dharma!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!"

Dharma berpaling. Dia menunggu sementara Kumar berlari ke arahnya.

"Dharma... saya tak pandai buat-buat romantik. Tapi.... saya nak awak berkahwin dengan saya...."

"Hah?!" Dharma terkejut.

"Saya mengaku. Selama ini saya pengecut, tak yakin. Tapi kali ni saya tak kisah pasal semua tu. Jom, Dharma. Kita kahwin."

Lalu Dharma pun terlonjat-lonjat kegembiraan:

"YEAH! YEAH! KAHWIN! KAHWIN!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!"